Categories: Berita Hiburan

Elvina Ulas Adegan Panas Di Ranjang, Hormat Keputusan Pengarah – “Kita Berbincang Dan Jumpa Titik Tengah.”

Share

Pelakon dan usahawan, Datin Elvina Mohamad tampil menjelaskan mengenai adegan panas yang dilakonkan menerusi drama terbaharu Safira (Bukan Nama Sebenar), dengan menegaskan ia sebenarnya dilaksanakan menggunakan helah kamera dan ‘double body’.

Menurut Elvina, sebagai pelakon profesional, dia menghormati arahan pengarah dan cuba menunaikan tanggungjawab yang sudah dipersetujui dalam kontrak.

“Bila kita melakonkan babak itu, sudah pasti pihak produksi menyediakan ‘double body’ dan menggunakan helah kamera.

“Malah, memang ada sesetengah babak yang tidak mendapat persetujuan pelakon. Sebab itu pihak produksi menyediakan ‘double body’ untuk gantikan kita.

“Namun, siapalah kita untuk menidakkan permintaan pengarah kerana kita sudah pun menandatangani kontrak,” katanya.

Elvina berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Safira yang berlangsung di Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, dia sebenarnya tidak tahu akan melakonkan babak tersebut memandangkan penulisan skrip masih berjalan semasa penggambaran.

“Saya memang tak tahu akan ada babak seperti itu kerana skrip drama ini masih lagi berjalan sepanjang penggambaran… Jadi, kita berbincang dan jumpa titik tengah,” jelasnya lagi.

‘Cancel Culture’ Tak Goyah Semangat Elvina

Mengulas mengenai reaksi netizen yang kurang senang melihat babak tersebut, Elvina memilih untuk tidak ambil pusing.

“Apapun yang berlaku, orang akan tetap bercakap tak kisahlah sama ada kita buat atau tidak.

“Kita memang berlakon untuk buat penonton percaya dan yakin babak itu benar-benar terjadi. Saya tidak terkesan.

“Yang penting saya dan orang sekeliling tahu apa yang saya buat,” ujarnya lagi.

Pelakon berusia 29 tahun itu turut memberi respon terhadap segelintir pihak yang mahu memboikot dirinya gara-gara kontroversi tersebut.

“Bercakap tentang budaya ‘cancel’ ini, saya rasa netizen sekarang mahu kita ikut sahaja apa kata-kata mereka.

“Bila kita buat silap sikit, terus nak ‘cancel’. Kita hanyalah manusia biasa dan tak boleh lari daripada melakukan kesilapan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada dia akan menerima watak yang memerlukan babak sebegitu lagi pada masa hadapan, Elvina enggan memberikan janji.

“Ia bergantung kepada situasi… Namun, saya tahu menjaga batas,” akhirinya.

Drama Safira (Bukan Nama Sebenar) bakal ditayangkan bermula 7 November ini di platform iQiyi, turut menampilkan pelakon seperti Datuk Aaron Aziz, Hazeeq Deen, Redza Rosli dan Sazzy Falak.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

@mediahiburanofficial Drama siri terbaharu, Safira (Bukan Nama Sebenar) menggabungkan barisan pelakon baharu dan berpengalaman 💪🏻. Safira (Bukan Nama Sebenar) bakal bersiaran bermula 7 November ini di platform penstriman, Iqiyi 💫 #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf