Categories: Hiburan

Elly Mazlein Umum Tarik Diri Untuk Semua Program Anugerah

Share

Selebriti versatil, Elly Mazlein menafikan dakwaan bahawa lawatannya ke perkampungan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan, semalam sebagai sebahagian strategi kempen untuk meraih undian netizen bersempena Anugerah Bintang Paling Popular ke-30 (ABP30).

Menurut Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, kehadirannya hanyalah untuk meraikan masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi serta bertemu dengan Nora, yang sebelum ini tular kerana menyanyikan lagu Janji Kekasih.

“Maaf anda silap. Saya buat ini untuk meraikan orang asli Pos Tohoi,” jelasnya menerusi balasan kepada seorang netizen di Instagram.

Umum Tarik Diri Dari Pencalonan Anugerah

Dalam hantaran sama, pengacara program Kilauan Emas 2025 ini turut mengumumkan pengunduran dirinya daripada sebarang pertandingan berbentuk anugerah, bagi memberi ruang kepada rakan artis lain.

“Saya juga akan buat kenyataan hari ini di Instagram saya untuk pengunduran diri dalam sebarang program berbentuk anugerah.

“Alhamdulillah saya pernah merasa menang dalam kategori Pengacara Paling Popular sebelum ini. Saya memberi ruang kepada pengacara yang lain,” katanya.

Pada masa sama, Elly tidak lupa menitipkan penghargaan buat para peminat setia yang sentiasa mendukung perjalanan seninya.

“Saya cukuplah sekadar pemenang di hati majmuk. Jelas? Jaga diri sahabat.

“Kepom sayang majmuk semua. Janji! Insha-Allah kita bersama berada dalam susah dan senang selagi ada rezeki dan izin Allah,” luahnya lagi.

Semalam, kehadiran Elly bersama pihak stesen radio Era di Pos Tohoi disambut meriah oleh penduduk kampung.

Malah, penyanyi lagu Disapu Awan ini juga berkesempatan untuk beramah mesra serta menyertai pelbagai aktiviti bersama komuniti di sana.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf