
Selain pulangan keuntungan yang kurang memberansangkan, penyanyi, Shiha Zikir tidak menolak kemungkinan isu gangguan sihir turut menjadi antara faktor penutupan operasi restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di cawangan Seksyen 7, Shah Alam.
Menurut Shiha, sewaktu mengambil keputusan untuk terjun ke dunia perniagaan, dia sudah jangka akan pelbagai risiko dan cabaran yang mungkin bakal berlaku.
“Saya sebenarnya tak berani nak mengiyakan soal itu. Namun, bila kita berniaga, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu kita hadap. Mahu atau tidak, perkara seperti itu memang wujud.
“Sebelum ini, ada sahaja hal-hal yang menimpa saya seperti masalah kesihatan dan tiada keinginan untuk datang ke kedai. Saya juga sudah berusaha untuk berjumpa dengan ustaz.
“Namun, saya tak boleh nak letakkan 100 peratus punca disebabkan masalah itu. Saya percaya segalanya berbalik kepada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Irama ini berkata sedemikian ketika ditemui pada sesi sidang media Anugerah Paling Viral Online di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, baru-bru ini.
Sementara itu, Shiha mengakui dia juga kerap berdepan dengan situasi pelik sepanjang mengendalikan restorannya itu.
“Jika tuhan nak takdirkan saya terkena sihir, itu adalah rezeki untuk saya rasa sendiri pengalaman itu. Mungkin ini adat resam berniaga. Sebelum ini, saya hanya dengar cerita orang sahaja.
“Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, ada pelanggan yang nampak kedai saya tutup. Tukang hantar gas juga tak nampak kedai saya. Padahal kedai saya buka setiap hari.
“Saya juga kerap berjumpa benda-benda pelik dan mustahil berhampiran kedai. Duit syiling itu perkara biasa. Saya memang selalu nampak,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Shiha melihat dugaan yang dilalui ini sebagai satu pengajaran berharga yang akan mematangkan dirinya, khususnya dalam bidang perniagaan.
“Hal ini berlaku disebabkan kekurangan diri saya sendiri untuk menguruskan bisnes restoran. Mungkin saya perlu belajar lebih banyak ilmu berkaitan pengurusan, staf dan penyediaan makanan.
“Namun, saya anggap dugaan ini sebagai satu pengalaman yang berharga bila saya laluinya sendiri,” katanya lagi.
Jelas Shiha, dia kini sedang mengenal pasti lokasi yang lebih strategik bagi membuka cawangan baharu untuk restoran nasi ayamnya itu.
“Bila berniaga, kita kena berani ambil risiko.
Tak kisahlah sama ada dalam bidang f&b mahupun nyanyian. Lebih baik saya tutup dahulu daripada menanggung kerugian yang lebih besar.
“Dalam masa sama, saya kini sedang mencari lokasi lain yang lebih strategik untuk buka cawangan baharu,” akhirinya.
Pada Isnin lalu, Shiha mengumumkan cawangan restoran Shiha Zikir Nasi Ayam ditutup sepenuhnya selepas hampir dua tahun beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam.
Bagaimanapun, cawangan di Kampung Baru, Kuala Lumpur masih beroperasi seperti biasa.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.