
Trio dari Indonesia, Mendua, tidak menyangka mereka bakal meraih markah tertinggi pada konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Ahad lalu.
Menurut salah seorang anggotanya, Marisha Friska Halauwet atau lebih mesra disapa Sasha, segala usaha mereka ternyata berbaloi walaupun sibuk dengan rutin dan pekerjaan hakiki.
“Kami sangat terkejut, bersyukur dan tak menyangka bakal menduduki tempat pertama. Sejujurnya kami memang penat kerana terpaksa berulang-alik dan menjalani latihan yang agak singkat.
“Kami juga harus memberikan fokus terhadap keluarga dan pekerjaan hakiki.
“Bila dapat markah paling tinggi, kami gembira dan rasa penat itu terbayar. Segalanya berbaloi,” katanya yang ditemui selepas berakhir konsert minggu pertama GV12, Ahad lalu.
Sementara itu, Hendra Purnanto atau Pungky meluahkan rasa syukur kerana keserasian antara ahli Mendua masih kuat walaupun mereka sudah 18 tahun tidak bertemu.
“Sejujurnya, sebelum menyertai GV12, sudah 18 tahun kami langsung tidak bertemu dan berhubung. Apatah lagi untuk menyanyi bersama.
“Kalau berhubung pun hanya sekadar untuk mengucapkan selamat hari lahir di Instagram. Itu pun hanya setahun sekali. Kami punyai kesibukkan masing-masing.
“Dunia kami bertiga sangat berbeza. Sasha merupakan doktor pakar bedah. Diana pula seorang usahawan dan saya masih dalam bidang muzik.
“Walaupun sudah 18 tahun tidak bertemu, itu menunjukkan yang kami masih punyai prinsip. Apapun yang berlaku, kita tetap sahabat baik,” kongsinya.
Dalam masa sama, Pungky turut menghargai usaha rakan seangkatan, The Lima, yang meyakinkan mereka untuk kembali bergabung dan bertanding di GV12.
“Kami turut diyakinkan oleh sahabat kami iaitu The Lima untuk bertanding di program ini. Kata mereka, kami masih mempunyai kemampuan untuk bertanding.
“Sebelum ini, kami agak ragu-ragu kerana sudah lama tidak menyanyi bersama. Adakah chemistry kami masih sama? Bila lama sudah tidak bertemu, perasaan janggal itu sudah tentunya ada.
“Menariknya, pada hari pertama kita kembali bertemu, tak rasa seperti 18 tahun berpisah. Setiap lima minit kami asyik ketawa sahaja. Chemistry itu memang tidak boleh dibeli,” ujarnya lagi.
Pungky turut mengakui, Mendua mempunyai cita-cita besar untuk bergelar juara GV12.
“Memang itulah harapan kami tapi kami tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi sehingga memberikan tekanan. Kami hanya mahu menikmati setiap proses di pertandingan ini.
“Kami tak mahu proses ini rasa tidak menyenangkan. Namun, ini adalah pertandingan. Tak mungkin kami hanya menyasarkan tempat kedua atau ketiga.
“Sudah tentu kami ingin bergelar juara. Kini, kami sudah lebih dewasa dan menghargai waktu. Jadi, bila sudah diberikan kesempatan untuk bersama, kita gunakan sebaik mungkin,” akhirinya.
Terdahulu, Mendua berjaya menampilkan persembahan memukau menerusi lagu Hampir Ke Situ, sekaligus meraih markah tertinggi 69.50% pada konsert minggu pertama GV12.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini