Categories: Fesyen

Dunia Fesyen Berkabung, Giorgio Armani Meninggal Dunia Pada Usia 91 Tahun

Share

Dunia fesyen antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pereka ternama Itali, Giorgio Armani, dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun. Berita duka itu disahkan menerusi kenyataan rasmi kumpulan Armani menerusi Instagram rasmi mereka pada Khamis, 4 September 2025.

Giorgio Armani, yang terkenal dengan gelaran “Re Giorgio” atau Raja Giorgio, meninggal dunia dengan tenang di kediamannya di Milan, di kelilingi keluarga tersayang setelah sekian lama bergelut dengan masalah kesihatan.

Sepanjang hampir lima dekad, jenama Armani sinonim dengan gaya elegan, klasik dan minimalis yang mengubah landskap fesyen dunia.

Pereka kelahiran Piacenza itu bukan sahaja berjaya menawan pentas fesyen di Milan, Paris dan New York malah menempatkan jenamanya di barisan hadapan industri, termasuk pakaian, aksesori, kosmetik dan juga hotel mewah.

Lebih membanggakan, rekaan beliau turut menjadi pilihan ramai tokoh kenamaan serta kerabat diraja dari pelbagai negara. Antara kerabat diraja yang pernah menggayakan sentuhan eksklusif Giorgio Armani termasuklah mendiang Puteri Diana, Puteri Charlene dari Monaco serta kerabat diraja Sepanyol yang menggemari gaya ringkas tetapi berprestij hasil tangan beliau.

Keanggunan rekaannya sering menyerlah dalam acara rasmi diraja, sekali gus mengangkat jenama Itali itu sebagai simbol kelas dan kemewahan sejati.

Selain golongan diraja, busananya juga sentiasa menjadi pilihan para selebriti untuk digayakan di karpet merah bahkan sebagai busana perkahwinan mereka. Dari Julia Roberts, Beyonce, Katie Holmes, Anne Hathaway, Rihanna sehinggalah Lady Gaga, semuanya pernah menyarung busana rekaan pereka fesyen ikonik ini.

Apa yang menyentuh hati, pemergian Giorgio Armani terjadi ketika jenama tersebut dalam persiapan menyambut ulang tahun ke-50 sempena Milan Fashion Week yang bakal berlangsung bulan ini.

Malah, pada Jun lalu, Armani buat pertama kalinya tidak menghadiri pertunjukan fesyen lelaki di Milan akibat keadaan kesihatan yang merosot.

Bagi memberi penghormatan terakhir, sebuah memorial khas akan dibuka di Milan hujung minggu ini bagi membolehkan orang ramai dan peminat merakamkan penghormatan kepada ikon fesyen tersebut sebelum upacara pengebumian tertutup diadakan.

Beliau dikenang sebagai individu yang berjaya mendefinisikan semula maksud kesederhanaan dalam fesyen moden, sekali gus menjadikan rekaan Itali sebagai lambang keanggunan di mata dunia.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA