Categories: Berita Hiburan

Dulu Pernah Terima Bantuan Kelengkapan Sekolah & Makanan, Sekarang Aliff Syukri Bayar RM2 Juta Zakat Perniagaan

Share

Pengasas kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mencatat pencapaian manis yang tersendiri apabila sekali lagi muncul sebagai pembayar zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tahun ini menerusi syarikat miliknya, D’Herbs Holdings Sdn Bhd, dengan jumlah keseluruhan RM2 juta.

Hadir bersama isteri, Datin Seri Nur Shahida serta anak sulung mereka, Ammar Ahyan, penyerahan replika cek zakat tersebut disempurnakan dalam Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025 yang berlangsung di Shah Alam, pada Selasa.

Sambil menzahirkan rasa syukur, Aliff turut tidak menyangka syarikatnya sekali lagi tersenarai sebagai penyumbang tertinggi zakat perniagaan di Selangor.

Malah Aliff menjelaskan, pengiktirafan itu bukanlah sesuatu yang dirancang, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab dan kepercayaan terhadap amanah rezeki.

“Saya sendiri tidak mengetahui jumlah keseluruhan zakat yang dikeluarkan kerana urusan akaun diuruskan oleh isteri. Apabila dimaklumkan jumlahnya mencecah RM2 juta, saya benar-benar terkejut dan bersyukur.

“Ini bukan soal berbangga diri, tetapi tanda terima kasih atas rezeki yang Allah kurniakan,” katanya.

 

Konsisten Sejak Usia 19 Tahun

Dalam pada itu, bintang filem Badang ini turut berkongsi kisah peribadi apabila pernah menjadi penerima bantuan zakat ketika di bangku persekolahan.

Ia sekali gus menjadi pengalaman yang disifatkan sebagai titik penting dalam membentuk komitmennya untuk terus menunaikan zakat sejak usia muda.

“Saya mula membayar zakat ketika berumur 19 tahun. Pada waktu itu gaji hanya RM650 dan zakat yang mampu dibayar hanyalah RM7 sebulan.

“Walaupun nilainya kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi mereka yang memerlukan, ia sangat bermakna. Alhamdulillah, jumlah itu meningkat setiap tahun sehingga hari ini,” jelasnya lagi.

Menurut Aliff, latar belakang hidup yang sederhana tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kejayaan.

Justeru, golongan kurang bernasib baik wajar diberikan sokongan dan peluang kerana setiap individu berpotensi mengubah kehidupan masing-masing.

“Saya juga pernah menerima bantuan zakat untuk pelajaran, kelengkapan sekolah dan makanan. Jangan memandang rendah orang susah.

“Sama ada mereka yang berasal dari kampung, tinggal di PPR atau penerima bantuan, semua orang ada peluang untuk berjaya jika diberi ruang,” katanya.

Dalam pada itu, Shahida memaklumkan tahun 2025 mencatat rekod tertinggi bagi syarikat mereka dari segi pembayaran zakat perniagaan.

Menurutnya, kejayaan tersebut datang hasil sokongan berterusan pelanggan terhadap pelbagai produk yang diusahakan.

“Tahun ini jumlah zakat paling tinggi setakat ini. Ia hasil usaha bersama dan sokongan pelanggan terhadap produk kami, daripada makanan hingga barangan keperluan.

“Semua yang menyokong perniagaan kami sebenarnya turut menyumbang kepada zakat ini. Syukur alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, sebanyak 56 syarikat tampil menunaikan kewajipan berzakat dengan jumlah keseluruhan RM22.15 juta.

Antara syarikat lain yang tersenarai sebagai pembayar zakat perniagaan utama termasuk Open University Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Wawa Global Sdn Bhd.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat berjumlah RM346,238 kepada golongan asnaf melibatkan bantuan perumahan, perniagaan dan perubatan.

Selain itu, Wakalah Majikan Kerajaan turut disampaikan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan LZS dalam memperkukuh kebajikan masyarakat.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH