
Bekas anggota kumpulan idol popular Korea, Lee Ji Hyun daripada kumpulan Jewelry kini berjaya menempa nama dalam bidang kecantikan apabila beliau bergelar pendandan rambut profesional.
Selepas meninggalkan dunia hiburan, Ji Hyun tekad mendalami bidang kecantikan sehingga memperoleh lesen sah sebagai hair designer. Sepanjang tempoh itu, beliau turut membahagikan masa sebagai ibu kepada dua cahaya mata.
Kerjaya baharunya mula berkembang sejak 2023 dan kini semakin mendapat perhatian pelanggan. Ji Hyun sendiri tidak menyangka sokongan yang diterima begitu luar biasa.
“Saya sangat bersyukur. Terima kasih atas minat semua, tempahan bagi bulan September sudah penuh. Saya akan membuka tempahan Oktober tidak lama lagi. Anda tahu, tidak boleh ada no-shows langsung, bukan? Kepada yang bakal hadir, datanglah dengan hati yang tenang dan jiwa yang ikhlas,” katanya.
Kejayaan ini menunjukkan figura hiburan mampu berjaya dalam bidang lain apabila disertai usaha gigih dan kesungguhan. Maklum balas pelanggan turut membuktikan kerja tangan Ji Hyun memberikan impak positif.
Seorang pelanggan turut menyifatkan hasil sentuhan Ji Hyun bukan sahaja mengubah penampilan, tetapi memberi kelegaan emosi kerana “hair & heart feel lighter.”
Perjalanan baharu Ji Hyun kini menjadi inspirasi bahawa perubahan besar dalam hidup mampu direalisasikan apabila disertai iltizam dan keberanian untuk memulakan langkah baharu.
Ji Hyun memulakan kariernya dalam dunia hiburan pada 1998 menerusi kumpulan multinasional yang dinamakan Circle. Namun kemudiannya pada 2001 dia menyertai kumpulan Jewelry dan menempa nama popular.
Meninggalkan Jewelry pada 2006, Ji Hyun melalui detik sukar dalam hidup apabila melalui dua proses perceraian di samping membesarkan dua anaknya.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan