
Nama Junnosuke Taguchi mungkin tidak asing bagi peminat setia kumpulan J-pop terkenal, KAT-TUN. Pernah menganggotai kumpulan itu sejak penubuhannya, Junnosuke mengambil keputusan meninggalkan KAT-TUN dan agensi Johnny & Associates pada 2016 untuk membina kerjaya solo.
Selepas 25 tahun bertahan dalam industri hiburan Jepun, KAT-TUN akhirnya dibubarkan secara rasmi pada Mac lalu.
Kini pada usia 39 tahun, perjalanan hidup Junnosuke nyata jauh berbeza. Menerusi perkongsian di Instagram usahawan dan pencipta kandungan, Madison Zhao, bekas idola itu mendedahkan dirinya kini bekerja sebagai hos di sebuah kelab malam, A-Men’s Tokyo, yang terletak di Shinjuku.
Dalam temu bual bersama Madison, Junnosuke tidak menafikan kerjayanya sebagai hos bukanlah sesuatu yang pernah dirancang. Namun, dia akur dengan haluan baharu tersebut.
“Saya dulu pernah mengecap populariti besar, malah membuat persembahan di Tokyo Dome. Tetapi saya terlalu sibuk untuk menyesali apa-apa. Saya gembira dan menikmati fasa ini,” ujarnya.
BACA JUGA: Impian Mendirikan Masjid Di Jepun Tercapai. Teuku Wisnu Menangis Saat Laung Azan Di Lokasi Pembinaan
Bagaimanapun, Junnosuke mengakui dirinya lebih bahagia ketika bergelar idola. “Saya cintakan muzik, nyanyian, tarian dan senyuman peminat. Selagi hayat masih ada, saya mahu terus berada di pentas,” katanya sambil menambah masih berhubung dengan dua bekas ahli kumpulan, Kamenashi Kazuya dan Jin Akanishi.
Apabila disentuh mengenai mendiang Johnny Kitagawa, bekas presiden Johnny & Associates yang terpalit dakwaan penderaan seksual berpuluh tahun lamanya, Junnosuke hanya memberikan senyuman tipis yang penuh tanda tanya.
Selepas meninggalkan kumpulan KAT-TUN, Junnosuke pernah menceburi pelbagai bidang termasuk menubuhkan agensi sendiri serta membuka sebuah kafe bertemakan ikemen
(lelaki kacak). Namun, kerjayanya merudum selepas ditahan pada 2019 atas kesalahan berkaitan ganja.Disebabkan tekanan kewangan daripada kegagalan perniagaan, Junnosuke dilaporkan mula bekerja sebagai hos kelab malam sejak tahun lalu.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan