Categories: Hiburan

Dulu Olimpik, Kini Skrip… Farah Ann Sedia Terjun Dunia Lakonan – “Saya Masih Boleh Melompat, Buat ‘Stunt’.”

Share

Selepas bersara daripada sukan gimnastik, atlet negara Farah Ann Abdul Hadi kini bersedia untuk menceburi bidang lakonan secara serius.

Menurut Farah, dunia lakonan mempunyai banyak persamaan dengan sukan gimnastik, terutama dari aspek persembahan dan penghayatan.

“Saya memang ada menerima beberapa tawaran untuk berlakon. Saya harap akan ada tawaran-tawaran lain lagi selepas ini. Saya memang nak menceburi bidang lakonan.

“Saya sudah pun menyertai kelas lakonan dan saya kini secara perlahan-lahan mahu memperkenalkan diri saya di dalam industri seni.

“Pada saya, industri lakonan ini agak sama dengan gimnastik yang juga merupakan sukan persembahan. Ketika di sekolah menengah, saya juga aktif dengan aktiviti drama dan teater.

“Ia sesuatu hal yang buat saya rasa teruja. Ada yang kata, kalau saya tidak menjadi atlet, mungkin saya akan jadi pelakon,” katanya kepada MH.

Farah berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama Generasi: Perfect 10 baru-baru ini.

Bermula Dari Bawah & Cabar Diri

Minat Farah terhadap dunia lakonan semakin mendalam apabila dia turut terlibat sebagai penasihat sepanjang penggambaran drama berkenaan.

“Jika ada sebarang tawaran, saya perlu pastikan saya mampu untuk menjiwai watak-watak tersebut. Sebagai atlet, saya selesa jika diberikan watak yang memperjuangkan hak wanita.

“Apapun, saya sangat teruja kerana dapat terlibat di dalam produksi G:P10. Saya dapat melihat momen-momen di sebalik tabir. Suasananya memang sangat berbeza dengan kehidupan seorang atlet.

“Cara latihan dan pengurusan masa juga berbeza. Saya akui apa yang harus dilalui oleh setiap pelakon juga sangat sukar. Ia merupakan proses pembelajaran buat saya,” kongsinya lagi.

Bekas atlet Olimpik ini juga percaya pengalaman gimnastik memberinya kelebihan untuk melakonkan babak aksi.

“Saya mengharapkan untuk mendapat watak aksi. Sehingga kini saya masih boleh melakukan aksi-aksi gimnastik. Saya masih boleh melompat dan lakukan aksi sendiri.

“Buat masa sekarang, saya terbuka untuk mempelajari apa sahaja watak. Saya tahu berlakon ini kita kena jadi orang lain. Saya akan nilai dahulu setiap watak dan cuba yang terbaik,” jelasnya lagi.

Farah turut menegaskan komitmennya untuk bermula dari bawah dalam bidang seni.

“Saya ada menyertai kelas lakonan bersama Sofea Jane. Beliau banyak mengajar saya tentang asas lakonan.

“Kini, saya sambung belajar secara atas talian pula. Mungkin selepas ini, saya akan melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan,” akhirinya.

Sekadar informasi, Generasi: Perfect 10 bakal ditayangkan bermula 19 September 2025, setiap Jumaat jam 12.00 tengah malam di On Demand atau 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf