
Penyanyi Zizi Kirana yang kini mengikuti misi bantuan ke Gaza melalui jalan laut berkongsi pengalaman apabila beberapa buah kapal pelayaran yang turut serta dikejutkan dengan kehadiran dron pemantauan.
Menurut Zizi, meskipun dron tersebut tidak mendekati kapal yang dinaikinya, mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
“Seperti mana yang telah dilaporkan di Instagram Global Sumud Flotilla, di mana ada kapal-kapal yang turut sama belayar telah didatangi dron pemantauan.
“Bagaimanapun, dron tersebut tidak datang ke kapal kami. Kami memang berlayar secara berkumpulan. Selepas mendapat info tersebut, kami diminta untuk memakai jaket keselamatan,” katanya.
Zizi berkongsi perkara itu menerusi hantaran video di Instagram pada Rabu. Katanya lagi, dron berkenaan beredar setelah beberapa minit membuat pemantauan.
“Memang semua kapal sedar akan kehadiran dron pemantau tersebut. Tapi setelah menunggu beberapa minit, alhamdulillah dron tersebut sudah tiada.
“Mungkin mereka tahu yang kami juga tahu tentang kehadiran mereka,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran sama, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu turut memaklumkan keadaan mereka masih terkawal dan memohon orang ramai agar tidak putus berdoa.
“Alhamdulillah, keadaan kami okay sahaja di atas kapal ini. InshaAllah, doakan semoga pelayaran ini terus sampai ke Gaza dan bantuan-bantuan yang kalian sumbangkan itu berjaya disampaikan.
“Diharapkan benteng atau kepungan yang dibuat ke atas Gaza ini dapat dipecahkan. Teruskan berdoa,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Zizi antara aktivis yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla, sebuah usaha bersejarah menghimpunkan rakyat dunia dalam usaha memecahkan sekatan haram rejim Israel terhadap Gaza. Selain Zizi, pelakon Ardell Aryana turut berada dalam misi tersebut.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini