Berita

Dikatakan Punyai Level IQ Tinggi, Rahsia Kembar SOG Bijak Peta Dunia & Ensiklopedia Sejak Kecil Terbongkar

Share

Selepas tular video yang memaparkan mereka berjaya menjawab kuiz berkaitan peta dunia, nama adik-beradik kembar dari Sekumpulan Orang Gila (SOG) iaitu Raja Nazrin dan Raja Nazmin, kini semakin mendapat perhatian netizen.

Ramai yang kagum dengan kebolehan mereka sehingga melabelkan kedua-duanya sebagai pemuzik yang mempunyai tahap IQ tinggi.

Mengulas mengenai perkara itu, Raja Nazrin menjelaskan, minat terhadap pengetahuan am sebenarnya telah dipupuk sejak kecil hasil didikan ibu bapa.

Terdedah Dengan Ilmu Sejak Kecil

Menurut Nazrin, arwah ibu dan bapa sangat menitikberatkan soal pelajaran dan ilmu sebagai bekalan hidup.

“Arwah mak dan bapa kami sangat pentingkan pelajaran. Kata mereka, pelajaran ini perkara yang boleh menyelamatkan kita. Dari kecil mereka sediakan kami ensiklopedia dan peta geografi dunia.

“Bila hari-hari sudah terdedah dengan hal-hal seperti itu, kami pun bacalah buku dan hafal peta-peta dunia ini tanpa perlu dipaksa. Itulah permainan kami sewaku kecil.

“Kerja sekolah tak jalan tapi ilmu-ilmu seperti itu kami minat. Bila sudah meningkat dewasa, kami masih terbawa-bawa tabiat itu. Kami selalu buat pembacaan dan cari tahu maklumat melalui internet di telefon,” katanya kepada MH.

Bagaimanapun, Raja Nazmin mengakui mereka tidak menyangka video tersebut akan tular sehingga mencetuskan persepsi bahawa mereka memiliki tahap kecerdasan yang luar biasa.

“Dalam Keluarga, Kami Paling Bawah”

Nazmin menambah, tanggapan itu sebenarnya kurang tepat jika hendak dibandingkan dengan ahli keluarga yang lain.

“Sebenarnya ramai lagi orang yang lebih bijak. Jika dalam ahli keluarga pula, dari segi akademik, kami yang paling bawah. Abang-abang kami lebih pandai.

“Kalau nak ajak berdebat, mereka lebih arif. Tahap IQ mereka lebih baik daripada kami. Kami nampak lebih menonjol mungkin kerana video teka trivia kami viral.

“Kalau nak kata kami pandai, kami pernah jumpa orang yang jauh lebih pandai,” ujarnya lagi.

Raja Nazrin dan Raja Nazmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media festival muzik Metalverse, baru-baru ini.

Ulas Soal Tahap Pendidikan

Dalam pada itu, Nazrin turut berkongsi pandangannya mengenai latar belakang pemuzik-pemuzik underground yang disifatkan sebagai golongan berpendidikan dan berfikiran terbuka.

“Kalau kita bercakap tentang awal kemunculan muzik underground pada tahun 2000, yang banyak mendapat akses terhadap internet dan muzik dunia adalah pelajar universiti.

“Dari situ tercetuslah minat mereka untuk tubuhkan band yang diinspirasikan daripada carian internet. Kebanyakkan pemuzik-pemuzik underground ini dalah daripada golongan celik.

“Ambil contoh pemuzik, Loque. Band Butterfingers itu sendiri ditubuhkan di MCKK. Mereka bukan sekadar mendengar radio tetapi turut mencari informasi tentang muzik yang jarang didengari.

“Perkara itu diteruskan sehingga sekarang. Golongan mat rock ini merupakan mereka yang suka mencari ilmu daripada hanya disuap,” katanya lagi.

Nazmin turut menambah ilmu yang dipelajari di sekolah juga banyak membantu mereka dalam proses penulisan dan penciptaan lagu.

“Ilmu memang membantu kami dalam penulisan dan penciptaan lagu. Kami belajar tentang sejarah dan cara pertabalan Sultan Perak. Kemudian, kami jadikan lagu ‘Bahtera’.

“Malah, masa sekolah juga kita belajar tentang komsas. Bila kita nak menulis lagu, barulah kita faham apa yang diajarkan dahulu.

“Kita akan rasa nikmat bila kita tahu gunakan sekecil-kecil simpulan bahasa. Ilmu-ilmu ini banyak beri impak. Malah, ilmu matematik juga banyak berkait dengan muzik,” akhirinya.

Untuk rekod, Nazrin dan Nazmin sekali lagi mencuri perhatian netizen selepas tular video yang memaparkan mereka berjaya menjawab kuiz berkaitan nama negara berdasarkan bentuk peta dunia.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf