Categories: Hiburan Muzik

Diheret Ke Mahkamah, Mariah Carey Akhirnya Menang Kes Lagu Krismas Ikonik

Share

Penyanyi terkenal, Mariah Carey, mencatat kemenangan mutlak apabila mahkamah persekutuan Amerika Syarikat menolak tuntutan saman berkaitan hak cipta lagu ikoniknya, All I Want for Christmas Is You, sekali gus mengarahkan pihak plaintif membayar kos guaman dan denda.

Menurut laporan media antarabangsa, hakim memutuskan bahawa dakwaan kononnya lagu tersebut diciplak daripada karya lain adalah tidak berasas dan gagal memenuhi standard undang-undang bagi membuktikan pelanggaran hak cipta.

Mahkamah menegaskan bahawa kedua-dua lagu yang dipertikaikan tidak mempunyai persamaan signifikan dari segi melodi, struktur muzik atau kandungan lirik, selain hanya berkongsi tajuk yang sama.

Kes saman itu difailkan oleh pemuzik Andy Stone, yang menggunakan nama pentas Vince Vance, bersama Troy Powers, yang mendakwa lagu mereka berjudul sama dan diterbitkan pada 1989 telah ditiru oleh Carey.

Mereka sebelum ini menuntut pampasan berjumlah AS$20 juta atas dakwaan kerugian dan pelanggaran hak cipta.

Lagu ini membawa tuah kepada Mariah yang mana setiap tahun ia berjaya menduduki tangga nombor satu dalam carta muzik.

Bagaimanapun, mahkamah menegaskan bahawa tajuk lagu tidak dilindungi di bawah undang-undang hak cipta, dan persamaan tajuk semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan berlakunya peniruan karya.

Hakim turut menyifatkan hujah yang dikemukakan pihak plaintif sebagai lemah serta tidak disokong bukti muzik yang kukuh.

BACA JUGA: Mariah Carey Raih Trofi Pertama MTV VMA Selepas 35 Tahun Bergelar Penyanyi

Lebih tegas, mahkamah turut mengarahkan plaintif membayar kira-kira AS$92,000 sebagai kos guaman dan penalti, selepas mendapati tuntutan tersebut bersifat remeh dan tidak berasas, sekali gus membazirkan masa mahkamah.

Keputusan itu disambut baik oleh pihak Carey, yang sejak sekian lama mempertahankan keaslian lagu Krismas berkenaan.

Lagu yang diterbitkan pada 1994 itu kekal sebagai antara karya paling laris dan paling kerap dimainkan setiap musim perayaan, selain menjadi simbol kejayaan berpanjangan penyanyi tersebut dalam industri muzik global.

Dengan keputusan ini, All I Want for Christmas Is You terus kekal sebagai karya asli Mariah Carey, sekali gus menutup salah satu kes hak cipta paling mendapat perhatian dalam sejarah muzik pop moden.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA