Categories: Hiburan

Didie Shazry Juara Sulung Raise The Star Malaysia, Lagu Ciptaan Aina Abdul Bawa Tuah!

Share

Selepas lapan minggu berentap dan mempamerkan kualiti sebagai bintang yang bakal menyinar, finalis Didie Shazry akhirnya dinobatkan selaku juara sulung bagi program realiti terbaharu, Raise The Star Malaysia (RTSMY).

Kemenangan ini menyaksikan Didie membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM30,000, trofi dan sebuah lagu baharu, malam tadi.

Pada malam kemuncak yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam, itu, Didie cemerlang menerusi dua tugasan iaitu ‘bebas’ dan lagu baru ciptaan juri, Aina Abdul yang berjudul Peganglah Hati.

Malah, sewaktu membawakan lagu Melompat Lebih Tinggi di pusing pertama, Didie turut mendapat standing ovation daripada juri, Aina Abdul.

Sementara itu, tempat kedua pula berjaya dirangkul finalis Zuana seterusnya  menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sebuah lagu baharu.

Tempat ketiga yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan kontrak lagu baharu jatuh kepada finalis Rayme.

Melengkapkan senarai pemenang adalah Hariz Fayahet dan Keka yang berada dikedudukan keempat dan kelima.

Hariz dan Keka masing-masing meraih hadiah wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan kontrak lagu baharu.

Sementara itu, finalis Pasha pula dinobatkan selaku pemenang anugerah khas Umobile Unbeatable Star sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

Konsert Akhir RTSMY menyaksikan 10 finalis berentap di pusingan pertama namun, hanya lima finalis yang berjaya ke pusingan kedua.

Di pusingan kedua, kesemua lima-lima finalis ini buat pertama kalinya membawakan lagu baharu hasil ciptaan komposer yang juga juri tetap RTSM iaitu Ajai, Aina Abdul, Audi Mok, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna.

Terdahulu, Konsert Akhir RTSMY dihoskan oleh gandingan pengacara Alif Sattar dan Sherry Alhadad dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Go

Published by
Aizam Manaf