
Rapper terkenal Amerika Syarikat, Sean “Diddy” Combs, berdepan dakwaan berat selepas bekas kekasihnya, Casandra “Cassie” Ventura tampil memberi keterangan bahawa dia pernah dipaksa melakukan hubungan seks ketika dalam haid.
Selain itu, dia turut mengakui diperlakukan secara menjijikkan dalam siri insiden rakaman yang digelar Freak Off.
Dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan Manhattan semalam, Cassie, yang kini hamil lapan bulan hasil perkahwinannya dengan jurulatih kecergasan Alex Fine, memberitahu bahawa mogul hip-hop itu sering merakam aksi seks tidak bermoral.
“Saya dipaksa melakukannya walaupun sedang haid. Itu adalah sesuatu yang beliau jangkakan daripada saya. Tiada siapa yang rela melakukan perkara begitu,” katanya ketika memberi keterangan.
Menurutnya lagi, dalam beberapa insiden, Diddy atau pengiring lelaki yang diupah turut bertindak kencing ke atas dirinya, termasuk ke dalam mulut, walaupun dia tidak pernah memberikan keizinan.
“Saya tidak bersetuju. Tetapi tiada ruang untuk berbincang. Itu perkara yang mengghairahkan dia, jadi ia berlaku,” katanya.
Tambah Cassie lagi, dia pernah hampir tercekik akibat terlalu banyak air kencing dalam mulut, sekali gus menjelaskan tahap gangguan yang dialaminya ketika itu.
“Selepas selesai sesi itu, saya ditinggalkan untuk membersihkan bilik hotel yang dipenuhi darah dan air kencing,” ujarnya.
Diddy, 55, ditahan pada September tahun lalu dan kini berdepan lima pertuduhan termasuk pemerdagangan seks, pemerasan dan membawa individu untuk tujuan pelacuran. Walau bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah.
Pada hari pertama perbicaraan Isnin lalu, pihak pendakwa turut membentangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Diddy memukul dan menyepak Cassie di sebuah hotel pada tahun 2016.
Pendakwa raya, Emily Johnson, menyifatkan Diddy sebagai dalang satu rangkaian jenayah terancang yang merekrut wanita, memberinya dadah, dan memaksa mereka melakukan hubungan seks demi kepuasan peribadi.
Namun begitu, pasukan pembelaan yang diketuai Teny Geragos menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa hubungan antara Diddy dan Cassie adalah atas kerelaan bersama.
Jika didapati bersalah, rapper itu berdepan hukuman penjara seumur hidup. Ketika ini, dia ditahan di Metropolitan Detention Complex, Brooklyn.
Imbas kembali, Cassie pernah menjalin hubungan dengan Diddy selama 11 tahun sebelum berpisah pada 2018.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan