
Pelakon Nazrief Nazri mendakwa dia dan isterinya, Aizatul Aqma Hamdan, mungkin menjadi mangsa gangguan sihir penunduk yang dipercayai dilakukan oleh bekas pembantu rumah mereka.
Menurut Nazrief, mereka menjumpai beberapa helai kain dan pakaian milik pembantu rumah tersebut yang diletakkan di beberapa penjuru rumah.
Ia dipercayai digunakan dalam ritual sihir bagi memperdayakan dirinya dan isteri.
“Kami terjumpa kain atau baju yang dipakai oleh bibik di beberapa penjuru rumah. Rupanya itu adalah sihir penunduk. Selama pembantu rumah itu ada, saya tak pernah marah dia.
“Padahal bila difikirkan semula, dia kemas dapur pun tak bersih, selalu bagi anak makanan yang dipanaskan dan masak tak sedap tapi saya tak pernah marah.
“Namun, isteri saya yang selalu marah dia. Isteri saya kalau bercakap dengan pembantu rumah, dia tidak akan pandang matanya. Isteri saya memang sangat berjaga-jaga dalam soal ini,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Seribu Tahun itu berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi terbaharu jenama pakaian She Dazzle, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, gangguan tersebut menyebabkan hubungan mereka suami isteri menjadi tegang, malah dia seolah-olah ‘tertutup mata’ daripada melihat kesalahan pembantu rumah itu.
“Sebab itu hanya isteri sahaja yang melawan. Masa pembantu rumah itu masih ada, kami selalu bergaduh. Bila isteri mengadu, saya buat macam angin lalu sahaja dan tak ambil peduli.
“Bila difikirkan semula, kenapa saya jadi sebegitu? Biasanya kalau isteri saya mengadu, saya akan terus ambil tindakan. Bila teringat tentang kain itu, barulah saya rasa semuanya masuk akal.
“Kami sedar tentang perkara itu selepas dimaklumkan oleh pembantu rumah yang baharu ketika kami ingin berpindah rumah. Dia jumpa kain-kain itu.
“Jadi, dia terangkan apa yang berlaku. Katanya perkara ini normal untuk orang dia,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Nazrief turut mendedahkan, kakak iparnya pernah mendengar luahan daripada pembantu rumah tersebut yang dikatakan iri hati dengan kehidupan isterinya.
“Pembantu rumah saya itu seakan tidak boleh menerima yang dirinya seorang bibik. Dia pernah bercerita kepada ipar saya kononnya kehidupannya semasa di Indonesia sama seperti kehidupan isteri saya.
“Katanya di Indonesia, dia selalu makan makanan sihat, pergi gimnasium dan selalu berdandan. Malah, dia juga dikatakan punyai pembantu rumah di Indonesia.
“Dia terpaksa jadi pembantu rumah di Malaysia untuk bantu suaminya yang sakit. Kenapa dia buat perangai, sebenarnya dia sudah tak nak bekerja lagi dan nak balik ke kampung,” akhirinya.
Sebelum ini, isteri kepada Nazrief turut berkongsi mengenai kisah pembantu rumah tersebut di media sosial, mencetuskan perhatian ramai terhadap kejadian aneh yang dialami pasangan itu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini