
Penyanyi, Hafiz Suip menjelaskan dirinya tidak pernah berniat untuk merahsiakan majlis perkahwinan bersama isteri, Fiona Safiyya yang berlangsung pada 13 Februari lalu.
Menurut Hafiz, dia hanya mahu memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga terdekat terlebih dahulu sebelum berkongsi berita gembira itu kepada umum.
“Seperti semua tahu, saya memaklumkan mengenai perkahwinan saya baru-baru ini, pada saat akhir. Kata orang, perkahwinan ini sebenarnya memang sepatutnya diuar-uarkan.
“Namun, saya memilih untuk senyap dahulu dan hanya memaklumkannya pada saat akhir. Saya bersyukur Allah permudahkan segalanya.
“Pada saya, ada beberapa perkara yang kita perlu simpan untuk diri sendiri. Lebih elok rasanya saya bagitahu pada hari kejadian,” katanya kepada MH.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran single terbaharunya berjudul Yang Engkau Mahu yang berlangsung di St. Giles Boulevard Hotel pada Khamis.
Mengimbas detik awal perkenalan, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26 ini mendedahkan, pertemuan mereka bermula ketika dia sedang mencari penyanyi untuk menggantikan Adira Suhaimi bagi Konsert Hafiz Suip: Perjalananku di Kuching, dua tahun lalu.
“Perkenalan kami bermula pada tahun 2024. Ketika itu, saya dalam persiapan untuk mengadakan konsert solo di Kuching, Sarawak. Pada waktu itu, saya ingin mencari penyanyi untuk menggantikan Adira yang tidak dapat hadir.
“Ketika saya sedang mencari pengganti, saya ada datang ke sebuah restoran. Tiba-tiba ada seorang wanita yang menyanyikan lagu Ku Akui. Saya terkejut dan suaranya sangat sedap.
“Jadi, saya bertanya kepada pemilik restoran mengenai wanita itu. Kata pemilik restoran, wanita itu sebenarnya penyanyi dan sudah lama bergiat aktif sebelum saya bermula lagi.
“Kemudian saya cari tahu tentang wanita itu dan menjemputnya menyanyi di konsert saya. Sejak dari itu, bermulalah perkenalan kami,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Hafiz sedih kerana ibunya tidak sempat menyaksikan hari bahagianya.
“Arwah ibu memang tahu tentang hubungan kami. Jika arwah ibu masih hidup, dialah orang paling gembira dan nak sangat lihat saya berkahwin.
“Malah, arwah juga sudah banyak merancang tentang majlis kami. Namun, takdir berkata lain. Majlis kami sepatutnya diadakan pada hari lahir ibu iaitu 15 Februari lepas tapi kita pilih untuk percepatkan,” ujarnya.
Berkongsi mengenai keperibadian isterinya yang berjaya menambat hati, bapa kepada dua cahaya mata itu menyifatkan Fiona sebagai seorang yang penyayang dan bijak menguruskan dirinya.
“Fiona seorang yang mengambil berat dan tahu macam mana nak menguruskan orang seperti saya. Paling penting, ibu saya juga setuju,” katanya.
Hafiz yang juga dikenali menerusi lagu Awan Nano turut meluahkan rasa syukur apabila hubungan mereka diterima baik oleh anak-anaknya.
Hafiz dan Fiona sah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 13 Februari lalu.
Hafiz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Nureffy Jasreel pada tahun 2016 sebelum sah bercerai pada Mei tahun lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf Zayne.
Fiona pula seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang cahaya mata.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini