Categories: Berita Hiburan

“Dia Memang Agak Tertekan,” – Anggota Elite Tak Tahu Linda Nak Tarik Diri, Beri Ruang Berehat

Share

Anggota kumpulan Elite mengakui tidak mengetahui mengenai keputusan penyanyi dan pelakon, Linda Rafar, yang dikatakan mahu menarik diri daripada kumpulan tersebut.

Menurut salah seorang ahlinya iaitu Sasha Saidin, Linda tidak pernah membuat sebarang perbincangan mengenai perkara itu dan mereka hanya mengetahui tentang hal berkenaan melalui orang luar.

“Sebenarnya kami ada grup Whatsapp Elite tapi Linda tiada cakap apa-apa berkaitan hal tersebut. Semenjak viral tentang isu wardrobe di konsert Elite dan Linda baca semua komen-komen netizen, dia memang agak tertekan.

“Jadi, dia tiada berbincang apa-apa dengan kami. Mungkin fikirannya agak terganggu kerana dia terlalu memikirkan apa yang orang kata.

“Saya rasa dia buat keputusan tersebut secara on the spot. Sebelum itu, kami okay dan berborak seperti biasa sahaja tapi orang lain pula yang maklumkan kepada kami tentang hal ini,” katanya kepada MH.

Sasha turut menjelaskan, mereka masih berhubung seperti biasa sebelum isu tersebut tular dan tidak menjangka sebarang keputusan drastik daripada Linda.

Beri Ruang Kepada Linda

Sementara itu, seorang lagi anggota Elite, Watie Sadali pula memaklumkan, mereka enggan terlalu mendesak Linda dan memilih untuk memberi ruang kepadanya menenangkan diri buat sementara waktu.

“Bila kami bertanya mengenai pengunduran diri atau ada sebarang masalah, dia pun tiada cakap apa-apa. Katanya dia ada masalah dalaman.

“Jadi, kami tak nak terlalu mendesak dan menghormati keputusannya itu. Namun, apa pun yang berlaku, kami berlima memang tiada masalah dengan Linda. Hubungan kami okay sahaja,” katanya.

Sasha dan Watie berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu pertama Gegar Vaganza 12 (GV12), Ahad lalu.

Dalam pada itu, Sasha turut menambah Linda sebenarnya belum benar-benar keluar daripada kumpulan Elite dan mungkin berlaku salah faham terhadap kenyataannya di media sosial.

“Linda ada maklumkan kepada saya berkaitan hantaran yang dimuat naik itu. Sebenarnya dia belum betul-betul buat keputusan. Dia hanya kata ‘seandainya’.

“Namun, orang luar terus ingat dia nak keluar daripada Elite. Lagipun, ketika ini semua orang sedang bercakap tentang Elite selepas konsert reunion lalu.

“Jadi, pada pandangan saya, Linda tak keluar daripada Elite. Mungkin dia hanya mahu berehat seketika sahaja,” ujarnya.

Watie turut berharap agar Linda dapat kembali bersama kumpulan mereka selepas menyelesaikan apa jua perkara yang membebankan fikiran.

“Jika Linda tonton temubual ini, saya harap Linda kuat. Mungkin boleh selesaikan apa sahaja masalah yang terbuku di dalam hati yang kami pun tak tahu.

“Apapun, saya sayang sangat dengan kumpulan Elite. Saya rasa aura Elite ini lain macam. Masing-masing tak boleh gerak sendiri. Ia tidak akan menjadi.

“Bila kita berkumpul, Elite ada aura yang gila-gila,” kongsinya lagi.

Minggu lalu, Linda mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik satu hantaran di Instagram memaklumkan keinginannya untuk keluar daripada Elite yang baru sahaja mengadakan reunion pada tahun ini.

Bagaimanapun, sehingga kini, Linda masih belum mengulas lanjut mengenai sebab sebenar di sebalik keputusan tersebut.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Kredit Foto: Instagram Elite

Published by
Aizam Manaf