
Pendakwah bebas, PU Riz tampil berkongsi pandangannya mengenai isu menegur adik ipar, khususnya dalam hal berkaitan kewajipan agama seperti menutup aurat.
Menurut PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail, secara umum, memberi peringatan tentang perkara asas dalam agama merupakan sesuatu yang biasa dilakukan dalam keluarga.
Namun begitu, pendekatan tersebut perlu mempunyai batas dan adab, lebih-lebih lagi apabila melibatkan ahli keluarga seperti adik ipar.
“Awak ada adik ipar? Pernah tak awak cakap kepada adik ipar dan ajar dia segala hal-hal yang wajib dalam agama? Secara umum, kita akan cakap.
“Namun, nak bercakap lebih mendalam misalnya soal pemakaian tudung, takkkan kita nak tegur, ‘Kenapa tak pakai tudung lagi? Astagfirullahalazim!’.
“Jika mengikut orang normal atau adab, dia masih lagi ada ibu dan bapa. Kalau orang lain yang menegur adik saya walaupun dia tak sempurna, saya rasa itu tidak betul,” katanya ketika ditemu bual di dalam sebuah program audio siar.
Jelas suami kepada selebriti dan usahawan, Noor Neelofa ini lagi, dalam ajaran Islam sendiri, setiap individu dituntut untuk menjaga diri dan ahli keluarga daripada perkara mungkar.
Namun begitu, PU Riz menambah bahawa konsep tersebut perlu difahami dengan betul kerana setiap individu mempunyai lingkungan tanggungjawab tersendiri dalam memberikan teguran.
“Tanggungjawab untuk bercakap hal sebegitu bukan terletak pada ipar. Jangan salah faham, kita tetap akan menegur dan beri peringatan.
“Namun, kita kena ingat, dalam Al-Quran, Allah bagitahu, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu. Secara umum, kita memang kena tegur perkara mungkar.
“Namun, setiap orang ada lingkungan untuk menegur. Siapa yang benar-benar wajib untuk menegur? Seperti saya, saya harus tegur ahli rumah saya sendiri seperti isteri, anak-anak dan orang gaji.
“Saya sediakan kelas mengaji untuk bibik-bibik saya. Saya tak ambil ringan,” ujarnya.
Kongsi PU Riz lagi, dia sebenarnya sudah kerap kali membicarakan isu ini dan ia juga pernah dibangkitkan ketika beliau menghadiri program ceramah.
“Hal ini mungkin nampak serius kerana saya pun dah penat nak bercakap. Setiap kali saya bercakap, ada yang akan kata, tegurlah dulu ahli keluarga kamu. Tengoklah cermin.
“Kita kena faham isu utama. Adakah saya diam? Tidak. Sesiapa pun yang buat silap lebih-lebih lagi ahli keluarga, kita akan tegur. Adik saya pun saya akan tegur.
“Namun, kita sudah ada lapisan-lapisan orang yang perlu menegur. Saya pernah kena sampai orang tanya dalam majlis. Katanya, ustaz tak malu ke beri ceramah tapi keluarga ustaz tak sempurna?
“Saya bertanya kembali, bagaimana kita nak mengambil satu tanggungjawab untuk menegur seperti mana yang disuruh oleh Allah? Contohnya, anak saya sendiri, takkan bapa saudaranya pula nak tegur secara berlebihan?
“Kena faham. Ada garis panduan bagaimana kita nak menjaga ahli keluarga kita,” akhirinya.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih hampir 2 juta tontonan di platform TikTok.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Sembang Seram & PU Riz