Berita

“Dia Mahu Kami Dirawat Bersama, Tapi Takdir Allah…,” – Hasrat Nak Jalani Rawatan Kanser Berdua Tak Kesampaian, Adrian Adam Reda Pemergian Abang Tercinta

Share

Anak kedua kepada pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam, reda atas pemergian abang tercinta, Allahyarham Andre Mikhail yang menghembuskan nafas terakhir pada malam Isnin.

Menurut Adrian, dia menerima takdir tersebut dengan berlapang dada dan menganggapnya sebagai satu ujian Allah SWT.

Malah, dia kini bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung serta menjadi sumber kekuatan buat keluarga, khususnya dalam waktu yang penuh cabaran ini.

“Saya reda dengan pemergian abang, Andre Mikhail. Saya anggap ini satu ujian, dan takdir. Tak mengapalah. It’s okay.

“Kita reda dan saya harap Allah merahmati abang saya dan lindungi dia daripada azab kubur dan azab api neraka.

“Apa pun saya kena kuat untuk keluarga saya terutamanya untuk ibu, ayah dan adik. Ketika ini, sayalah yang menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung,” katanya kepada MH.

Adrian berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian jenazah Andre Mikhail di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada Selasa.

Terdahulu, Allahyarham selamat dikebumikan sekitar jam 11 pagi.

Momen Terakhir & Hasrat Rawatan Bersama Tak Kesampaian

Dalam pada itu, Adrian turut berkongsi detik-detik terakhirnya bersama Allahyarham sebelum keadaan kesihatan abangnya semakin merosot.

“Saat-saat terakhir kami bersama, ketika itu
dia seperti di awang-awangan. Bila saya berbual dengan dia, reaksinya seperti mamai sahaja. Kita pun kurang faham apa yang dia katakan.

“Saya biarkan dia tidur. Keesokkannya Andre sedar semula tapi saya tiada bersamanya.
Yang sempat bercakap dengan dia buat kali terakhir adalah nenek saya.

“Kemudian, dia tidur semula. Selepas itu dia nazak,” kongsinya lagi.

Adrian dalam masa sama menzahirkan rasa syukur atas kehadiran orang-orang terdekat serta rakan-rakan artis yang hadir memberikan sokongan moral kepada keluarganya.

“Saya rasa bersyukur dan anggap ia satu anugerah daripada Tuhan. Rezeki dia bila ramai yang mendoakan.

“Kami tidak rapat pun dengan rakan-rakan artis ini tapi bila melihat mereka hadir, saya terharu,” ujarnya.

Sementara itu, Adrian mengakui dirinya sebak apabila mengenangkan hasrat mereka untuk menjalani rawatan kanser bersama tidak kesampaian.

“Sebenarnya terlalu banyak kenangan kami bersama tapi saya tak boleh nak ungkapkan di sini. Berkenaan permintaan terakhir pula, saya kurang pasti. Namun, jika arwah ada permintaan, pasti saya akan tunaikan.

“Dia ada memberikan semangat ketika saya disahkan mengidap kanser tulang. Dia mahu kami dirawat bersama-sama tapi takdir Allah ambil dia dahulu. Tak mengapalah. Saya terima.

“Saya akan bawa semangat abang saya. InshaAllah,” akhirinya.

Terdahulu, Andre yang menghidap kanser paru-paru menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam Isnin.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf