Berita

“Dia Lalui Yang Indah-Indah, Ada Tempat Tinggal Selesa…,” – Abby Abadi Tak Tunjuk & Cerita Ujian Hidup Dengan Anak-Anak

Share

Pelakon, Abby Abadi tampil memberikan respon susulan kenyataan seorang individu yang mempersoalkan tindakan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim, yang berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada Ahmad Aslam.

Individu berkenaan menyatakan kekeliruan dari sudut psikologi, khususnya mengapa Marissa sanggup membuat keputusan tersebut, lebih-lebih lagi selepas melihat pengalaman pahit yang pernah dilalui ibunya sewaktu dia membesar.

“Lepas bacaan kes Marissa, anak Abby terdiam sekejap. Anak yang pernah nampak jatuh bangun maknya dalam perkahwinan. Kenapa buat perkara yg sama?

“Bukan seorang dua begini. Ada banyak contoh dalam masyarakat pun seolah dah tahu, tapi tetap buat?

“Saya tak nak menghukum, cuma nak tahu psikologi disebalik apakah yang bermain dalam minda mereka yang pernah berada di situasi tersebut dan lakukan perkara yang sama?

“Memori zaman kanak-kanak yang terluka ke? Ada tak pakar yang boleh kongsi pandangan,” soalnya.

Menjawab persoalan tersebut, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menjelaskan, dia tidak pernah berkongsi tentang dugaan hidupnya kepada anak-anak.

Menurut Abby, anak-anaknya membesar dalam suasana kehidupan yang selesa dan tidak terdedah kepada realiti sebenar yang dilaluinya.

“Dia tak nampak dan saya pun tak pernah bercerita. Dia lalui yang indah-indah, ada makan minum dan tempat tinggal yang selesa.

“Sebab itu dia tak ambil pengajaran pun sebab memang tak pernah tahu ibunya ini melalui kehidupan macam mana,” kongsinya.

Reaksi Netizen & Perkembangan Terkini

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap kekuatan Abby sebagai seorang ibu.

Selain itu, ramai juga yang menitipkan doa agar segala kemelut yang dihadapi keluarga tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Antara komen yang ditinggalkan:

“Patutlah, pandai ibu sembunyikan kesedihan. Semoga yang baik-baik semuanya selepas ni ya kak abby, amin.”

“Peluk Kak Abby.”

“Awak telah melakukan segalanya dengan baik. Semoga dimudahkan semuanya buat keluarga Abby. Semua yang jadi dalam kehidupan adalah pengajaran dan pengalaman. Harap dia berada dalam keadaan baik-baik saja ketika membuat pilihan dalam hidupnya.”

“Semoga terus kuat. Awak adalah ibu yang terbaik. Awak melakukan segalanya dengan baik.”

Terdahulu, Aslam dan Marissa hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan pada 10 Mac lalu.

Menerusi laporan media, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Kisah pasangan ini mula mendapat perhatian apabila Ahmad Aslam dilaporkan bernikah dengan Marissa di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Pernikahan tersebut didakwa berlangsung ketika isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan, sedang mengerjakan umrah.

Ketika itu, Ahmad Aslam masih berstatus suami orang dan perkahwinan tersebut juga dikatakan berlaku tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk kedua ibu bapanya yang telah berpisah, iaitu Norman Hakim dan Abby.

Pada Mei tahun lalu, pasangan tersebut turut hadir ke mahkamah yang sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Instagram, Threads Abby Abadi & Atique_e

Published by
Aizam Manaf