
Pelakon Tiz Zaqyah, berkongsi khabar gembira apabila memaklumkan dirinya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan.
Menurut Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, Allah sebagai sebaik-baik perancang kerana menemukannya dengan bakal suami yang juga merupakan sahabat baiknya sejak kecil.

“Insya-Allah saya akan berkahwin tidak lama lagi. Saya hanya mohon doa yang baik-baik daripada kalian. Mungkin sudah sampai serunya.
“Individu tersebut ialah jiran setaman dengan perumahan saya. Kami sudah kenal sejak daripada kecil. Lebih tepat lagi dari darjah satu.
“Dia juga kawan saya dari zaman kanak-kanak, katanya kepada MH. ketika ditemui pada majlis sidang media drama Impiana Karma, di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Impiana Karma bakal bersiaran pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam bermula 19 November di saluran Astro Ria (104).
Selain Tiz, drama ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Che Puan Juliana Evans, Ezzanie Jasny, Yuna Rahim dan Adriana Adnan.

Jelas Tiz lagi, dia dan bakal suaminya itu mula berkenalan secara serius sejak setahun yang lalu.

“Dalam soal jodoh saya ini, perancangan Allah sangat cantik. Saya tak perlu risau lagi untuk berkenalan dengan orang baharu.
“Hubungan di antara keluarga juga memang sudah rapat. Rumah pun setaman. Jadi, nak balik raya pun mudah,” selorohnya.
Hubungan Bertukar Cinta
Ditanya bagaimana hatinya boleh tertarik dengan bakal suami, Tiz menjelaskan, keakraban mereka sejak kecil memudahkan hubungan tersebut berkembang ke fasa lebih serius.

“Sebelum ini, hubungan kami biasa sahaja dan tiada perasaan apa-apa. Namun, jodoh itu merupakan rahsia Allah.
“Bila kami berjumpa semula, kita mula berkongsi tentang kehidupan masing-masing dan segalanya terjadi begitu sahaja.
“Mungkin kami sudah selesa dan punyai banyak persamaan. Jadi, kami meluahkan perasaan masing-masing,” ujarnya.
Tiz turut memaklumkan dia bakal berkongsi lebih lanjut mengenai bakal suaminya apabila tiba waktunya nanti.

“Buat masa ini, belum ada tarikh yang spesifik tapi perancangannya adalah pada tahun hadapan.
“Jika dahulu, bila rakan media bertanya soal jodoh, saya tak boleh nak jawab kerana tiada apa untuk dikongsikan.
“Namun, saya belum boleh kongsikan secara terperinci. Saya risau sebab penyakit ain memang betul-betul boleh berlaku. Cukuplah setakat ini sahaja dulu,” kongsinya lagi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




