Berita

“Dia Bapa, Kenalah Sokong Anak,” – A. Aida 10 Tahun Pujuk Azeva Masuk Industri Seni, Terbuka Kerjasama Dengan Ameng

Share

Penerbit dan pelakon, Datuk A. Aida menyifatkan penglibatan anak gadisnya, Azeva Natassha dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) sebagai platform terbaik untuk menyerlahkan bakatnya sebagai anak seni.

Menurut A. Aida, dia sebenarnya sudah lama berhasrat membawa Azeva menceburi bidang seni, namun minat tersebut hanya muncul selepas anaknya itu menamatkan pengajian di Australia.

“Sejak Azeva berusia 17 tahun lagi, saya sudah paksa dia untuk buat album dan berlakon kerana saya tahu anak saya punyai suara dan tone yang unik.

“Saya memujuknya hampir 10 tahun tapi dia tidak mahu. Selepas balik daripada pengajian di Australia, dia terus ajak saya untuk buat album.

“Bila nak buat album semula, tiba-tiba dapat tawaran TTMM2. Pada saya, ini peluang keemasan untuk mencipta nama dalam industri ini.

“Ia sebenarnya bukan mudah. Ada yang sudah 10 tahun bergelar artis pun masih tidak dikenali. Pada saya, ini jalan mudah anak saya menuju ke ‘bintang’’,” katanya kepada MH.

A. Aida berkata demikian ketika ditemui pada sidang media TTMM2, baru-baru ini.

Keterbukaan Bekerjasama Dengan Ameng

Dalam kesibukan bersama rumah produksi A. Aida Production Sdn. Bhd, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui perlu berkorban masa demi berjuang bersama Azeva untuk bersaing di TTMM2.

“Itulah pengorbanan seorang ibu kepada anaknya. Bukan sahaja dari segi masa, malah, seluruh Malaysia juga sudah tahu keadaan saya. Selepas masuk ke ICU, keadaan lutut saya juga tidak seperti dahulu.

“Demi anak, saya gagahi juga. Kalau rasa sakit, saya terus ambil ubat tahan sakit. Segala cabaran akan kami redah dan renangi,” kongsinya lagi.

Dalam masa sama, A. Aida turut terbuka untuk bekerjasama dengan bapa Azeva iaitu penyanyi Ameng yang sebelum ini pernah menyertai TTMM musim pertama bersama anaknya, Ammar.

“Saya tak kisah pun. Perkara yang lepas, kita biarkan lepas. Saya juga ada beberapa kali berhubung dan berjumpa dengan Ameng. Ada perkara yang kami bincangkan bersama untuk membantu Azeva di TTMM2.

“Alhamdulillah, dia bagi kerjasama yang baik. Dia pun okay bila saya ajak datang ke pejabat. Lagipun Ameng ialah bapa Azeva. Kenalah sokong anak,” ujarnya.

Bagaimanapun, A. Aida menegaskan dia tidak mahu cara pengurusannya dalam TTMM2 dibandingkan dengan Ameng.

“Ameng masuk pertandingan ini dengan anak dia sendiri. Azeva anak saya. Walaupun Ameng ialah ayahnya.

“Ketika dia masuk, itu dunia lain. Saya pula dengan dunia saya. Ia tiada kena mengena,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kritikan netizen, A. Aida berharap orang ramai dapat memberikan komen yang membina.

“Walaupun apa sahaja komen yang kita dapat, saya nasihatkan Azeva untuk menerimanya dengan positif. Saya juga ingin menyeru kepada netizen di luar sana, tak kisahlah kepada mana-mana peserta pun, bagilah komen yang membina.

“Tegurlah dengan berkhemah. Apa yang salah, kita akan perbetulkan. Janganlah sampai mengeji atau mengutuk fizikal. Itu boleh buatkan mereka rasa lemah dan alami keresahan. Tunjukkan sokongan sebaiknya Insya-Allah,” akhirinya.

TTMM2 bakal bersiaran bermula 19 April ini jam 9.00 malam di saluran Astro Ria, Astro One dan Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf