
Pelakon era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 69, terharu apabila diberi peluang untuk kembali ke layar perak menerusi filem aksi Felai FX terbitan Sheunik Sdn Bhd.
Pelakon filem Adik Manja yang pernah mencetus fenomena sekitar 1980-an ini melahirkan rasa syukur apabila hasratnya untuk kembali aktif dalam lakonan sebagai sumber pendapatan menjadi kenyataan, selepas menerima tawaran berlakon daripada penerbit filem tersebut, Richard Ung.
Apa yang lebih menyentuh hati, anak lelakinya, Muhammad Al Syafiq, 36, turut diberi peluang untuk membintangi filem sama.
“Kawan saya yang juga penerbit Richard ini memang ‘gila’ sikit. Bila nampak saya terus ajak berlakon, kemudian dengan anak saya pun dia ajak sekali. Sudah lama saya tak berlakon, dulu mereka panggil ketika saya sihat, elok.
“Bukan macam sekarang ini, saya sudah tak berapa sihat. Bila tengah sihat okay sahaja. Sekarang saya tengah sakit memang tak boleh berlakon. Tapi masa saya berlakon untuk filem ini saya masih okay, boleh buat ‘stunt’ dan jayakan babak bergaduh.
“Tawaran untuk filem ini saya dapat pada 2023 dan penggambaran pun pada tahun itu juga ketika masih sihat. Cuma, baru-baru ini saya menghadapi masalah tekanan, lama-lama saya kurang makan macam-macam lagi penyakit datang,” katanya.
Dharma yang juga bapa kepada dua cahaya mata ditemui pada tayangan khas filem Felai FX di Panggung 1, FINAS, pada Khamis.
Menerusi filem itu, Dharma membawakan watak ketua kumpulan samseng yang terlibat dalam sindiket pelaburan mata wang asing.
“Dalam filem ini saya jadi ketua ‘samseng’ atau ‘mafia’ dan banyak jalankan urusan ‘forex’. Kemudian ada juga babak aksi seperti tembak-menembak.
“Kiranya saya jayakan watak antagonis dalam filem ini. Sebenarnya saya tak minat watak jahat, tapi sebab sudah terlalu lama tak berlakon, jadi saya ambil tawaran sebab memang ini minat saya dan ini juga diajak oleh kawan saya, Richard.
“Richard ini kawan lama saya tu sejak era 1980-an lagi, jadi nak tak nak, saya buat jugalah. Memang sudah lama saya tak berlakon sebab sebelum ini juga saya banyak terbabit di belakang tabir dengan produksi sendiri,” jelasnya.
Lebih daripada sekadar pekerjaan, penglibatan dalam filem ini menjadi satu bentuk terapi buat Dharma, yang mengubat kerinduannya terhadap dunia seni lakon yang sekian lama ditinggalkan.
“Memang dapat mengubat kerinduan saya walaupun saya terbabit untuk penggambaran ini hanya sehari sahaja. Memang sekejap sahaja penggambaran saya, datang pagi petang sudah habis, malam pula tak ada.
“Saya tak rasa ini sebagai pekerjaan, tapi perkara yang memang saya cinta, jadi bila dapat kembali memang mengubat kerinduan. Kali ini saya banyak terbabit dengan pelakon-pelakon saya tak berapa kenal kerana kebanyakan masih baharu,” katanya lagi.
Penerbit filem tersebut, Richard Ung, turut mengambil inisiatif membantu Dharma melalui syarikatnya, AMP Moves Sdn Bhd, dengan kerjasama Sheunik Sdn Bhd serta Teguh Setanding, menganjurkan tayangan khas Felai FX yang lebih bersifat kebajikan berbanding komersial.
Richard turut menjelaskan, tayangan khas itu diadakan bagi membantu Dharma bagi melunaskan tunggakan sewa rumah dan menampung kos sara hidup dua anaknya, termasuk seorang yang masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Saya tidak dapat berkongsi jumlah sumbangan yang akan disalurkan kepada Dharma pada majlis tayangan khas ini.
“Apa yang boleh saya beritahu, sumbangan itu cukup untuk Dharma keluar dari kemelut yang dihadapi sekarang iaitu untuk bayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup dalam tempoh tiga bulan sehingga anaknya menamatkan pengajian,” katanya.
Melalui inisiatif ini, Dharma turut menerima sumbangan wang tunai daripada syarikat produksi sebagai tanda sokongan dan keprihatinan industri terhadap insan seni yang pernah mewarnai layar perak suatu ketika dahulu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.