Categories: Berita Hiburan

Dharma Harun Kembali Ke Set, Terharu Dengan Pengorbanan Datuk A Aida – “Saya Nak Ucapkan Berjuta-Juta Terima Kasih…”

Share

Selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, pelakon veteran Dharma Harun mengakui hatinya cukup terharu apabila dapat kembali menjejakkan kaki ke set penggambaran.

Seakan mendapat nafas baharu, Dharma atau nama sebenarnya Mohamad Azman Harun Arashid, 69, menggambarkan perasaan itu bagaikan seorang atlet yang kembali ke gelanggang setelah lama meninggalkan arena.

“Katalah anda seorang pemain bola. Pemain bola itu macam Mokhtar Dahari lah, orang tahu anda hebat.

“Kemudian entah macam mana, anda dapat main bola balik. Rasa-rasa macam mana? Tentunya akan rasa seronok.

“Begitulah kegembiraan saya apabila diberi peluang kembali berlakon, rasa seperti bernadi semula,” ujarnya.

Dharma berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran telefilem terbaharu terbitan A Aida Production, Ayahdi Pusat Jagaan Harian Warga Tua, Ampang, baru-baru ini.

Mengimbau detik melangkah masuk ke lokasi penggambaran, pelakon filem Adik Manja Returns itu akui rasa sebak apabila teringat zaman kegemilangannya lebih empat dekad lalu.

Walaupun jarang muncul di layar, Dharma tetap dekat dengan dunia seni kerana sebelum ini, dia turut aktif sebagai penerbit dan pernah terlibat dalam beberapa program berbentuk amal.

“Melihat artis dan kru membuatkan saya teringat masa muda. Saya rasa hidup semula dan seronok dapat sertai mereka.

“Sebagai penerbit, dua ke tiga tahun lalu saya ada buat satu program menaik taraf surau secara percuma, semua itu membuat saya gembira.

“Sekarang walaupun saya tidak mengarah tetapi saya gembira berlakon balik,” kongsinya lagi.

Terima Kasih Datuk A. Aida

Lebih bermakna, peluang berlakon kali ini hadir hasil keprihatinan penerbit terkenal,

Datuk A. Aida yang sanggup mengubah jalan cerita asal demi memastikan Dharma kembali ke layar.

“Saya nak ucapkan berjuta-juta terima kasih pada Datuk A. Aida. Cerita ini asalnya pasal seorang ibu, tapi bila dia tahu keadaan saya, dia tukar watak itu jadi bapa.

“Saya amat terharu dan buat sehabis baik untuk watak tersebut.

“Pihak produksi sangat hormati saya, cuma dalam keadaan macam ini saya tak boleh cakap banyak, hanya dialog tertentu sahaja dan mereka pun benarkan saya berlakon sambil duduk,” jelasnya.

Dharma sebelum ini pernah mencuri perhatian apabila berat badannya menurun sehingga 45 kilogram akibat masalah kesihatan, selain ketiadaan tawaran berlakon sejak beberapa tahun kebelakangan.

Kini, dia bakal kembali menghiasi kaca televisyen menerusi telefilem Ayah arahan Zul Huzaimy, bergandingan dengan barisan pelakon muda seperti Aniq Suhair, Azeva Natassha dan Ezzaty Abdullah

.

Telefilem itu dijadualkan bersiaran pada 18 Oktober ini menerusi saluran Salam HD.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH