Categories: Berita Luar Negara

David Beckham Terima Gelaran Knighthood Daripada Raja Charles III

Share

Bekas kapten pasukan bola sepak England, David Beckham, telah dianugerahkan gelaran knighthood yang membawa gelaran Sir oleh Raja Charles III dalam satu majlis rasmi di Istana Windsor pada 4 November lalu.

Penganugerahan tertinggi daripada institusi diraja itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar Beckham dalam bidang sukan dan kebajikan sepanjang lebih dua dekad pembabitannya dalam dunia bola sepak antarabangsa.

Beckham, 50, kini secara rasmi bergelar Sir David Beckham, sekali gus menyertai kelompok kecil tokoh sukan Britain lain yang pernah menerima penghormatan serupa seperti Sir Alex Ferguson dan Sir Mo Farah.

Beliau hadir ke istiadat berkenaan dengan mengenakan sut rekaan isterinya, Victoria Beckham, dan menyifatkan penganugerahan itu sebagai detik paling membanggakan dalam hidupnya.

Beckham berkata, sebagai anak kelahiran timur London, menerima gelaran knighthood daripada Raja merupakan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya dan dianggap sebagai kemuncak kepada segala usaha dan dedikasinya selama ini.

Sir David Beckham bersama isteri dan ibu bapanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Raja Charles sempat memuji penampilannya ketika majlis tersebut berlangsung dan menggambarkan baginda sebagai antara lelaki berpakaian paling elegan yang pernah dikenalinya.

Beckham pernah mewakili England sebanyak 115 kali dan beraksi bersama beberapa kelab ternama dunia termasuk Manchester United, Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan Paris Saint-Germain.

Selain dikenali sebagai ikon bola sepak dan gaya hidup global, Beckham juga aktif menjalankan kerja-kerja amal melalui Yayasan Beckham serta pelbagai organisasi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Untuk pengetahun pembaca, gelaran “Sir” di United Kingdom tak sama dengan gelaran “Datuk” di Malaysia, walaupun dua-duanya adalah bentuk penghormatan kebesaran yang diberi oleh ketua negara.

Tetapi dari segi prestij dan taraf sosial, ia boleh dikatakan lebih kurang setara, cuma sistem dan sejarahnya berbeza.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA