Categories: Berita Dalam Negara

Dari Kopitiam Ke Parkir Rumah Ibadat Hingga Tangan Berseni, Inilah Wajah Malaysia Astro Merdeka 2025

Share

Setiap kali bulan Ogos menjelma, seluruh negara dipenuhi dengan warna Jalur Gemilang yang berkibar megah di jalanan, di bangunan pencakar langit dan di serambi rumah. Namun, kemerdekaan bukan sekadar pada bendera yang berkibar atau laungan merdeka yang bergema di stadium. Ia hidup dalam nadi rakyat, berdenyut dalam cerita kecil yang sering kita pandang sebelah mata.

Tahun ini, Astro menghidangkan siri dokumentari Astro Merdeka 2025 yang mengajak kita menyingkap wajah sebenar Malaysia. Wajah itu tidak semata-mata dipotretkan dalam perarakan rasmi, tetapi terlukis indah dalam kehidupan harian kanvas masyarakat yang sederhana.

Secangkir Kopi, Sehangat Bicara

Episod pertama berjudul Famili Ikat Tepi membawa penonton ke Tapah, Perak melawat Xin Aun Nong Yong, sebuah kopitiam yang berusia hampir seabad. Bangunan kayu tua itu masih teguh berdiri, seolah menjadi saksi bisu kepada ratusan pertemuan dan ribuan perbualan yang pernah berlabuh di situ sejak sebelum Merdeka lagi.

 

Bau kopi pekat yang menyapa hidung, bunyi sudu berlaga dengan gelas kaca, dan gelak tawa pelanggan menjadi harmoni yang tidak pernah pudar. Bersama Nadeera dan Sharul Kamal, Aril Pilus menghidupkan semula nostalgia ini, seakan mengingatkan kita bahawa warung kecil itu lebih daripada sekadar tempat menjamu selera.

Ia adalah ruang menyulam persahabatan, medan menyambung cerita, dan monumen perpaduan yang tumbuh tanpa dipaksa. Mesej tersiratnya sangat jelas. Di balik meja kayu yang usang, kita melihat bagaimana perbezaan latar belakang tidak menjadi sempadan.

Seorang pesara, seorang warga emas dan seorang pekerja boleh duduk semeja, berkongsi cerita sambil menghirup kopi panas. Segelas minuman itu lebih ampuh daripada ribuan slogan, kerana ia menautkan jiwa dalam bahasa paling mudah, iaitu kebersamaan.

Saling Ada, Saling Melengkapi

Episod kedua pula menyingkap kisah jauh di Lutong, Miri, Sarawak, melalui judul Tempat Letak Harmoni. Di kawasan ini berdiri Masjid An-Naim dan Good Shepherd Church, dua rumah ibadah yang bersebelahan. Uniknya, kedua-duanya berkongsi tanah parkir yang dimiliki. Dari luar ia tampak seperti susun atur kebetulan, tetapi di baliknya tersimpan falsafah besar tentang toleransi dan kepercayaan.

Aril bersama Daniel Sher dan Wani Kayrie menyingkap bagaimana masyarakat setempat membudayakan sikap bertolak ansur dengan penuh rela. Ketika tiba solat Jumaat, halaman dipenuhi kenderaan jemaah masjid. Pihak gereja tidak mempertikaikan, malah memahami bahawa itu saat penting buat saudara Muslim mereka.

Sebaliknya, ketika Ahad menjelma, giliran ruang itu menjadi milik penganut gereja untuk berkumpul dan beribadat. Semuanya berlaku dengan penuh hormat, tanpa sebarang sengketa. Di sinilah kita melihat bagaimana sebuah ruang parkir yang sederhana menjadi lambang besar kepada kematangan rakyat Malaysia. Ini bukti bahawa perpaduan bermula daripada adab kecil, daripada kemampuan hati manusia untuk memberi ruang dan mengutamakan harmoni berbanding ego.

Kanvas Penyatu Bangsa, Warna Sebuah Pengertian

Episod ketiga berjudul Seni Berkawan pula memperlihatkan sisi yang lebih berwarna-warni. Tiga seniman muda, Izzati Suza, Riynn Lee dan Karthine, disatukan dalam satu ruang kreatif, ditemubual oleh kumpulan remaja popular masa kini, Alpha bersama Aril.

Walaupun setiap seorang datang daripada latar budaya dan gaya seni yang berbeza, mereka berkongsi satu tekad, iaitu menjadikan seni sebagai jambatan yang merapatkan jurang perbezaan. Dari bicara santai mereka, terbit satu kebenaran bahawa seni adalah bahasa yang tidak bertuan. Ia tidak memerlukan penterjemah untuk difahami, sebaliknya terus menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang mendengar atau melihatnya. Mesej tersiratnya lembut tetapi kuat.

Kreativiti manusia mampu menembus dinding perbezaan, melangkaui sempadan bahasa dan agama, lalu meresap ke dalam hati dengan keindahan yang tulus. Dari ruang seni inilah kita belajar bahawa kemerdekaan sebenar bukan sahaja terletak pada bebasnya sebuah negara, tetapi juga pada bebasnya hati kita daripada prasangka.

Dalam tiga kisah ini, Astro tidak sekadar menyiarkan dokumentari. Ia seakan mengirimkan sepucuk surat cinta kepada rakyat Malaysia. Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak hanya hidup dalam gendang perbarisan atau kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga dalam kopi yang dikongsi bersama, dalam parkir yang dirunding penuh hemah, dan dalam seni yang melintasi sempadan budaya.

 

Dengan Aril Pilus sebagai pengikat naratif, Astro Merdeka 2025 menjahit benang halus yang menghubungkan kita semua. Ia mengingatkan bahawa perpaduan bukanlah impian jauh di awan, tetapi kenyataan yang dapat ditemui dalam detik kecil. Ia ada di kopitiam, di pekarangan ibadah dan di studio seni.

Inilah wajah Malaysia sebenar, wajah yang merdeka kerana hati rakyatnya hidup bersama berpaut dalam harmoni. Jangan lepaskan peluang menyaksikan episod penuh ketiga-tiga dokumentari menarik penuh bermakna ini di sini.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA