
Melakonkan adegan hamil dalam muzik video lagu raya terbaharu berjudul ‘Bincang Raya’, penyanyi dan pelakon, Amira Othman mengulas dakwaan dirinya kini sedang berbadan dua.
Menurut Amira, babak tersebut hanyalah sebahagian daripada jalan cerita dan tidak membawa sebarang maksud bahawa dia kini hamil anak pertama.
Muzik video lagu yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi, Irfan Haris itu mendapat sentuhan idea daripada pengarah bersama Fattah Amin dan Khalid Nadzri.
“Untuk babak hamil itu, ia tidak membawa maksud apa-apa. Saya pun bertanya kepada suami, kenapa jalan ceritanya sebegitu.
“Kata Fattah, dia nak jadikan jalan cerita itu lebih menarik, kelakar dan ada plot twist,” katanya kepada MH.
Amira berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu ‘Bincang Raya’ di Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre pada Isnin.
Dalam masa sama, Amira memaklumkan sejak awal perkahwinannya lagi, dia sering menerima komen daripada orang ramai yang mendakwa dirinya kelihatan seperti mempunyai ‘baby bump’.
“Daripada awal lagi saya kahwin memang orang cakap nampak baby bump. Kalau memang benar kami akan kongsikan (berita kehamilan),” ujarnya lagi.
Tambahnya, sebagai figura awam, dia dan suami tidak akan teragak-agak untuk berkongsi sebarang khabar baik dengan para peminat apabila tiba masa yang sesuai.
“InsyaAllah kalau ada perkara baik, waktu yang baik dan bersesuaian, kita akan kongsikan.
“Setiap kali kita nak kongsi apa-apa, sudah tentu kami fikirkan tentang keluarga dan nasihat-nasihat orang-orang alim ulama.
“Lagi pun bukan kita nak sembunyikan apa-apa cuma bergantung kepada keadaanlah,” ujarnya lagi.
Video muzik Bincang Raya mula ditayangkan secara rasmi pada jam 7 malam Isnin di saluran YouTube.
Untuk rekod, Amira mendirikan rumah tangga dengan Fattah Amin pada 14 September tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini