
Pelakon Kamal Adli tidak menafikan tahun 2025 bukanlah tempoh yang mudah untuk dirinya, sebaliknya penuh dengan cabaran peribadi yang berat, walaupun bersyukur dengan rezeki yang diterimanya kebelakangan ini.
Menurut Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, rezeki yang datang bagaimanapun sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan, namun ia tidak mampu menutup rasa kosong di dalam jiwanya.
“Ramai ingat tahun ni tahun saya. Tahun depan pun konon tahun saya juga. Tapi jujur, bagi saya ia bukanlah seperti yang diperkatakan. Tahun ni sebenarnya tahun Abang Jamil (Que Haidar). Saya cuma menumpang.
“Alhamdulillah, cuma tahun ini, ia tahun duka saya sebenarnya. Tahun berat untuk saya. Saya terus bekerja tanpa henti.
“Dalam saya melalui tempoh sukar, Allah bagi juga sedikit rezeki untuk buat saya senyum.
“Tapi saya tetap perlu teruskan. Saya seorang-seorang di rumah, itu yang buat semuanya terasa berat,” katanya.
Pelakon filem Escape itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meet & Greet Bersama Duta Jakel 2026 di Jakel Mall, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Kamal menambah, terdapat beberapa perkara peribadi yang tidak perlu didedahkan kepada umum, namun ia cukup memberi kesan besar pada rutin harian serta kestabilan emosinya.
“Susah sebenarnya sebab saya seorang. Saya seorang kat rumah dan perkara itu tak seronok.
“Kalau tak shooting saya rasa habis saya kat rumah tu kan. Mungkin saya akan mula melukis gambar kat dinding kan. Saya tiba-tiba belajar memasak ke.
“Ada benda orang tak tahu dan saya tak perlu kongsi. Memang susah sebenarnya. Walaupun rezeki masuk, jiwa tetap kosong. Ini soal hati,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Kamal diumumkan sebagai duta raya Jakel untuk tahun hadapan bersama Que Haidar dan Elly Mazlein.
Sebelum ini, rumah tangga Kamal berdepan ujian apabila isterinya yang juga pelakon Uqasha Senrose, memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu bertemu jodoh pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 19 bulan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini