Categories: Berita Hiburan

“Dah Jadi Tagline Saya….,” – Amad Dayyan Okay Bila Insiden ‘Sakit Bahu’ Jadi Bahan Usikan, Tak Tersinggung

Share

Penyanyi muda, Amad Dayyan akui tidak tersinggung apabila insiden misteri ‘sakit bahu’ yang berlaku di acara Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) menjadi bahan jenaka rakan-rakan di sekolah.

Menurut Amad, dia tahu rakan-rakannya itu hanya mahu bergurau dan tidak berniat untuk menyakiti hatinya.

“Suasana di sekolah masih lagi okay dan baik-baik sahaja. Namun, ada juga rakan-rakan yang bergurau dan mengusik tentang insiden pegang bahu.

“Perkara itu sudah seperti menjadi tagline saya sekarang. Saya tak tersinggung pun. Malah, saya pun ikut ketawa sekali. Pada saya, kejadian itu memang lawak,” katanya kepada MH.

Anak kepada penyanyi Siti Sairah itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran single sulung berjudul ‘Mendewasa’ di Qeqoz Gift & Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam masa sama, Amad memaklumkan suasana di sekolah masih sama meskipun namanya kian popular selepas menyertai program TTMM.

“Ketika di sekolah, rakan-rakan anggap saya seperti orang biasa sahaja. Saya pun anggap diri saya orang biasa. Saya bersekolah di sekolah sukan. Ada orang yang lebih hebat daripada saya,” ujarnya lagi.

Amad turut menambah, walau apapun yang berlaku di dalam hidupnya, dia sentiasa mahu melihatnya daripada sudut positif.

“Setiap perkara yang berlaku, saya anggap semuanya positif dan pembakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan. Saya tak kisah pun apa orang nak kata.

“Saya cuma fokus kepada diri sendiri. Biarlah orang lain dengan diri mereka. Bukanlah nak kata saya tak kisah langsung tapi saya memilih untuk tidak baca komen. Saya lebih selesa buat hal sendiri.

“Hal-hal berkaitan komen ini, saya serahkan kepada ibu saya sahaja. Saya fokus hal berkaitan kerja sahaja.

“Ada kalanya memang mengganggu emosi. Tapi saya memilih untuk sabar dan jangan fikir hal yang bukan-bukan,” kongsinya.

Single ‘Mendewasa’ Penuhi Impian

Sementara itu, Amad akui sangat teruja apabila impiannya untuk memiliki single sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya sangat teruja bila terima lagu ini. Saya sanggup dengar lagu ini ketika pergi dan balik sekolah sehinggalah saya tidur.

“Ini adalah lagu pertama saya dan ia berkait rapat dengan kisah saya sendiri,” katanya.

Ditanya apa yang membuatkan dirinya terlalu risau bila meningkat dewasa, Amad memaklumkan dia banyak memikirkan tentang keluarga dan masa hadapan.

“Saya bukanlah takut nak meningkat dewasa. Bila cakap soal dewasa ini, saya jadi agak risau dan takut bila memikirkan tentang masa hadapan yang tidak menentu.

“Kita pun tak tahu apa yang bakal berlaku. Saya risau sekiranya satu hari nanti saya perlu berjauhan dengan adik-beradik dan keluarga.

“Ibu saya selalu pesan, bila dewasa nanti, saya kena jaga adik beradik. Jangan tinggalkan walau seorang. Jangan biarkan mereka lari. Kena sentiasa bersama,” akhirinya.

Terdahulu, lagu ‘Mendewasa’ hasil ciptaan komposer Omar K dan Shazriq Azeman kini boleh didengari di seluruh platform penstriman.

Sehingga kini, muzik video yang sudah pun dilancarkan pada Jumaat lalu telah mendapat lebih 50,000 tontonan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

@mediahiburanofficial Tahniah diucapkan buat penyanyi meningkat naik Amad Dayyan yang baru sahaja melancarkan single pertamanya yang berjudul ‘Mendewasa’ 💕. Lagu Mendewasa ini turut mendapat sentuhan daripada komposer Omar K dan Shazriq Azeman 🔥. #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf