Categories: Hiburan

Cristiano Ronaldo Dihadiahi Seekor Unta Sempena Pertunangan

Share

Bintang bola sepak antarabangsa, Cristiano Ronaldo menerima hadiah luar biasa apabila wartawan terkemuka Arab Saudi, Ibrahim Al Faryan yang menghadiahkan seekor unta sempena meraikan pertunangannya dengan Georgina Rodríguez.

Al Faryan membuat pengumuman itu menerusi platform X baru-baru ini dengan menulis, Ini hadiah saya untuk anda sempena perkahwinan. Hadiah anda akan berada di Riyadh apabila anda kembali.”

Pertunangan Cristiano Ronaldo dan Georgina diumumkan pada 11 Ogos lalu selepas Georgina memuat naik gambar cincin berlian yang disarungkan ke jarinya dengan kapsyen penuh romantis sebagai tanda persetujuan untuk melangkah ke fasa baharu dalam hubungan mereka.

Hadiah berbentuk unta itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat di seluruh dunia, ada yang menyifatkannya sebagai penghormatan besar terhadap ikon bola sepak berusia 40 tahun itu, manakala ada juga yang kagum dengan keunikan budaya masyarakat Arab.

Dalam tradisi masyarakat Teluk, unta bukan sekadar haiwan ternakan tetapi menjadi simbol kekayaan, status dan kemuliaan. Justeru, pemberian itu dianggap sangat signifikan dalam menzahirkan rasa hormat terhadap Cristiano Ronaldo yang kini beraksi bersama kelab Al Nassr sejak Januari 2023.

Sementara itu, ruangan komen di X dibanjiri ucapan tahniah selain pujian terhadap sikap murah hati Al Faryan yang sebelum ini turut dikenali dengan hadiah-hadiah mewah kepada tokoh sukan antarabangsa.

Cristiano Ronaldo yang mengemudi pelbagai kejayaan sepanjang kariernya bukan sahaja terus menjadi perhatian di padang, malah kehidupan peribadinya bersama Georgina Rodríguez sentiasa menarik minat media dan peminat di seluruh dunia.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA