Categories: Hiburan

Choi Jung-won Ditahan Polis Atas Tuduhan Menguntit

Share

Dunia hiburan Korea Selatan digemparkan dengan penahanan pelakon terkenal, Choi Jung-won selepas beliu didakwa mengintai dan mengganggu seorang wanita di kediamannya baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan, insiden berlaku pada 16 Ogos lalu apabila aktor berusia 43 tahun itu dikatakan hadir di rumah wanita berkenaan sambil membawa senjata tajam. Perbuatannya itu mencetuskan kebimbangan sehingga mangsa membuat laporan polis.

Susulan siasatan, pihak Mahkamah Daerah Tengah Seoul telah mengeluarkan perintah perlindungan kecemasan pada 18 Ogos, yang melarang Choi menghampiri mangsa dalam jarak 100 meter dan berkomunikasi dengannya dalam apa jua bentuk. Dua hari kemudian, pada 20 Ogos, polis secara rasmi menahan beliau atas dakwaan menguntit.

Bagaimanapun, Choi menafikan semua tuduhan yang dilemparkan dengan alasan ia hanyalah salah faham berhubung konflik peribadi dengan bekas teman wanitanya. Beliau turut menolak dakwaan bahawa dirinya membawa senjata untuk mengugut mangsa.

“Tiada niat untuk mencederakan sesiapa. Semua ini berpunca daripada masalah emosi antara saya dan individu berkenaan,” katanya melalui kenyataan peguam.

Choi Jung-won mula dikenali menerusi penglibatannya sebagai anggota kumpulan duo K-Pop UN pada awal 2000-an, sebelum berjaya mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

Namun, kes ini dijangka memberi tamparan hebat terhadap kerjayanya memandangkan industri hiburan Korea amat sensitif terhadap sebarang kontroversi berkaitan jenayah.

Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan tidak menolak kemungkinan membawa kes ini ke mahkamah sekiranya terdapat bukti kukuh. Jika sabit kesalahan, Choi berdepan hukuman penjara serta reputasi yang musnah sama sekali.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA