Categories: Hiburan

Charlie Kirk, Sekutu Kuat Donald Trump, Maut Ditembak Ketika Berucap Di Utah

Share

Amerika Syarikat dikejutkan dengan insiden berdarah yang meragut nyawa pempengaruh media sosial yang juga tokoh konservatif terkenal, Charlie Kirk, 31, pada 10 September 2025.

Pengasas organisasi pelajar Turning Point USA (TPUSA) itu dilaporkan ditembak ketika menyampaikan ceramah di Utah Valley University, Orem, Utah, semalam dalam siri jelajah yang dinamakan The American Comeback Tour.

Menurut saksi, tembakan dilepaskan sejurus beliau memulakan sesi terbuka bersama pelajar, sekali gus mencetuskan suasana panik di dewan universiti berkenaan.

Pihak keselamatan kampus bersama polis tempatan bertindak pantas mengawal keadaan dan membawa Charlie ke hospital berhampiran. Namun, beliau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Berita pemergian figura popular yang memiliki lebih 8 juta pengikut di Instagram itu mendapat perhatian luas di Washington.

Presiden, Donald Trump yang dianggap mentor politiknya, menzahirkan kesedihan mendalam dan menyifatkan Charlie sebagai ‘wira muda’ yang banyak menyumbang kepada gerakan konservatif di negara itu.

Dalam satu hantaran di Instagram, Trump turut mengarahkan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang sehingga Ahad ini sebagai tanda penghormatan terakhir.

Charlie meninggalkan seorang isteri, Erika Frantzve, serta dua cahaya mata. Sejak menubuhkan TPUSA pada usia 18 tahun, beliau menjadi suara dominan di kalangan belia konservatif dan sering dijadikan sandaran utama kempen Trump di peringkat akar umbi.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai peningkatan keganasan politik di Amerika Syarikat. Gabenor Utah, Spencer Cox menyifatkan kejadian itu sebagai satu bentuk pembunuhan politik yang tidak boleh diterima sama sekali.

Pemimpin parti Demokrat dan Republikan turut sepakat mengecam keras serangan tersebut serta menggesa agar langkah keselamatan diperketatkan.

Bagi penyokong Trump, pemergian beliau bukan sahaja meranapkan suara lantang generasi muda dalam politik kanan, malah meninggalkan kekosongan besar dalam usaha menggerakkan semangat Make America Great Again di kalangan rakyat.

Sepanjang kariernya, Charlie turut dikenali sebagai figura yang sarat kontroversi. Beliau sering mengeluarkan kenyataan berbaur Islamofobia termasuk menuduh komuniti Muslim sebagai ancaman terhadap ‘nilai Amerika’.

Beliau juga secara terbuka menolak kewujudan negara Palestin, malah pernah menyatakan bahawa ‘Palestin hanyalah ciptaan politik’ yang tidak sah dari segi sejarah. Pendiriannya itu berulang kali dikecam pertubuhan antarabangsa, aktivis kemanusiaan dan pemimpin Islam seluruh dunia.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA