Hiburan

Charli XCX Selamat Bergelar Isteri Kepada Pemain Dram The 1975, George Daniel

Share

Penyanyi pop alternatif terkenal Britain, Charli XCX, selamat mendirikan rumah tangga dengan tunangnya yang juga pemain dram kumpulan The 1975, George Daniel dalam satu majlis pernikahan sederhana tetapi penuh gaya di Dewan Bandaraya Hackney, London, semalam.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan rapat, termasuk ahli kumpulan The 1975 kecuali vokalis utamanya, Matty Healy.

Meskipun perkahwinan itu diadakan sederhana, pernikahan tersebut tetap mencuri perhatian media serta peminat antarabangsa apabila gambar pasangan berkenaan tular di laman sosial.

Charli atau nama sebenarnya Charlotte Aitchison, 32, tampil mempesona dalam gaun pendek putih berinspirasikan rekaan ikonik Vivienne Westwood, lengkap dengan korset, layah dan cermin mata hitam, satu penampilan yang cukup sinonim dengan identiti muzik dan stail ‘brat girl summer’ yang dibawanya.

Sementara itu, George kelihatan segak mengenakan sut klasik serba hitam. Pasangan tersebut dilihat tersenyum lebar sewaktu keluar dari dewan pernikahan sambil berpegangan tangan dan mengucup mesra di hadapan jurugambar serta peminat yang hadir.

Menurut laporan media antarabangsa, pasangan itu turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi kedua dalam skala lebih besar di Sicily, Itali dalam masa terdekat sebagai meraikan hari bahagia bersama rakan selebriti dan peminat setia mereka.

Charli dan George mula menjalin hubungan rapat sejak 2021 selepas bekerjasama menerusi lagu Spinning, sebelum mengesahkan hubungan mereka secara terbuka pada 2022.

Pasangan sama cantik dan sama padan ini mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu, dengan Charli berkongsi gambar cincin pertunangannya menerusi media sosial.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA