
Kekal cantik dan menawan pada usia 56 tahun, pelakon Datin Seri Maria Farida lebih selesa menjaga penampilannya secara semula jadi berbanding melakukan sebarang pembedahan untuk mengubah rupa parasnya.
Menurut Maria, pembedahan kosmetik hanya akan membuatkan wajah kelihatan pelik selain terpaksa menahan rasa sakit yang tidak perlu.
“Saya tak suka rawatan-rawatan yang memerlukan cucuk atau lifting. Saya hanya buat rawatan wajah yang biasa. Pada saya, cantik dan menua secara semula jadi lebih baik daripada kita cucuk dan buat bengkang bengkok pada muka.
“Buat rawatan pelik-pelik ini, pada saya tak cantik. Lebih baik kita hargai apa yang Allah telah berikan. Lagipun, dunia sekarang sudah canggih. Kita ada alat solek dan gambar juga boleh filter,” katanya kepada MH.
Maria berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Pemuja di TGV, The Starling Mall, Petaling Jaya pada Selasa.
Filem Pemuja bakal ditayangkan di pawagam bermula 22 Januari ini.
Jelas Maria lagi, dia juga sudah lali dengan tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya kerap melakukan pembedahan di bahagian wajah untuk nampak muda dan kekal jelita.
“Saya tahu rawatan itu semua menyakitkan. Saya tidak akan boleh tahan. Pada saya, bila kita buat muka, ia nampak tak cantik dan pelik. Ia akan lebih memburukkan muka dan buat kita nampak lebih tua.
“Saya pun tak faham mana datang cantik itu. Di media sosial ramai yang kata saya cucuk muka. Pada saya cucuk muka itu tak cantik. Jadi, celah mana yang saya cucuk?
“Bila saya gelak, segalanya nampak jelas di wajah saya. Segala kedutan di bawah mata ini memang tak dapat nak lindung. Saya rasa diri saya lebih natural,” ujarnya lagi.
Tambah Maria, dia juga tidak mempunyai rutin penjagaan diri yang spesifik, sebaliknya hanya mendapatkan rawatan wajah asas.
“Itulah soalan yang paling susah saya nak jawab. Saya bukan sejenis orang yang yang rajin bersenam, jogging atau makan makanan sihat. Saya buat perkara sebaliknya.
“Saya suka makan coklat, makanan ringan dan bersenam pun tidak. Saya selalu kena marah dengan anak-anak. Mereka suruh saya pergi jogging atau berjalan kaki.
“Saya lebih suka berjalan, menonton Netflix atau ke panggung wayang. Itulah senaman bagi saya. Saya juga punyai kulit yang agak sensitif. Jadi, saya tak suka pakai produk penjagaan kulit.
“Saya lebih suka pergi buat rawatan wajah. Saya ditaja sepenuhnya oleh sebuah klinik. Jadi, setiap bulan saya ada sesi rawatan wajah,” kongsinya.
Dalam pada itu, Maria tidak menolak faktor genetik turut memainkan peranan besar dalam penampilannya yang kelihatan sentiasa awet muda.
“Semua ini juga faktor genetik. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ahli keluarga saya semuanya kelihatan awet muda. Ibu saya, arwah nenek dan di sebelah keluarga ayah termasuk dari Filipina, semuanya nampak muda.
“Jadi saya sangat bersyukur dengan perkara itu dan rasa tidak mengapa untuk menerima apa yang ada,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini