Hiburan

Bunuh Kekasih Bawah Umur, Pelakon Lelaki Dihukum Mati

Share

Dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan pelaksanaan hukuman mati menggunakan skuad tembak terhadap pelakon dan penyanyi popular China, Zhang Yiyang, yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya yang berusia 16 tahun, dua tahun lalu.

Menurut laporan Mahkamah Rakyat Pertengahan Xianyang, hukuman tersebut telah dilaksanakan pada 18 Disember 2024 selepas rayuan akhir Zhang ditolak. Beliau menjadi penghibur pertama di China yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan jenayah berat.

Insiden tragik itu berlaku pada Februari 2022 apabila Zhang, yang ketika itu berusia 30 tahun, membawa kekasihnya ke kawasan hutan di Bandar Xingping kononnya untuk menyambut hari lahirnya.

Namun, berlaku pertengkaran sebelum Zhang bertindak ganas dengan menikam leher mangsa berkali-kali menggunakan pisau lipat. Mangsa dilaporkan telah beberapa kali cuba memutuskan hubungan, namun sentiasa diugut Zhang yang sering menggunakan alasan mahu membunuh diri.

Selepas membunuh kekasihnya itu, Zhang bertindak membuang telefon bimbit mangsa serta pakaiannya ke dalam takungan air, sebelum cuba membunuh diri keesokan hari di sebuah hotel, namun dia berjaya diselamatkan kakitangan hotel yang curiga.

Laporan siasatan turut mendedahkan bahawa Zhang mengalami gangguan mental jenis paranoid dan mempunyai sikap obsesif yang melampau terhadap pasangan.

Nama Zhang Yiyang bukan asing dalam dunia hiburan China. Beliau pernah membintangi filem aksi The Soul Of The Dragon dan dikenali menerusi lagu I Only Care About People Who Care About Me dan Crying Man.

Namun, tayangan filem lakonan terakhirnya, The Sound Of Music (atau Jieyou Sound Hall) pada Mac lalu mencetuskan kemarahan ramai. Ramai netizen mengecam pihak produksi kerana terus menayangkan karya melibatkan individu yang disabitkan dengan pembunuhan kejam, apatah lagi terhadap remaja bawah umur.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA