
Pelakon, Fattah Amin menyokong penuh usaha daripada pihak kerajaan untuk memperkasakan Kempen Internet Selamat bagi membendung isu buli siber yang kini dilihat semakin membimbangkan.
Jelas Fattah, dia dan isteri yang juga penyanyi, Amira Othman teruja apabila berpeluang untuk bertemu secara empat mata bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk menyuarakan mengenai realiti yang berlaku di dunia digital saat ini.
“Alhamdulillah, baru-baru ini saya berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Komunikasi bersama YB Datuk Fahmi Fadzil bagi menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan oleh YB Menteri Komunikasi sendiri.
“Pertemuan ini amat bermakna buat saya dan isteri. Ia bukan sekadar mewakili kami berdua, tetapi juga sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama dengan industri hiburan tanah air, anak-anak seni tempatan serta rakan-rakan pempengaruh di media sosial dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keselamatan dan etika di ruang digital,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan oleh pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Jelas Fattah lagi, sebagai anak seni yang sentiasa menjadi perhatian dan tidak terlepas daripada kontroversi, dia berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan supaya internet dapat menjadi ruang selamat bukan tempat menyebar kebencian.
“Sebagai individu yang juga berdepan realiti dunia media sosial hari ini, saya percaya sudah tiba masanya kita semua memainkan peranan untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, sebagai figura awam, Fattah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menyebarluaskan lagi usaha positif ini.
“Saya dengan rendah hati mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, dan insyaAllah akan berusaha menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat serta generasi akan datang.
“Mari kita sama-sama mengingatkan diri kita, Internet harus digunakan dengan selamat. Hapus Cyber Bully!,” ujarnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Fattah Amin