Categories: Berita Hiburan

Bukan Sekadar Bazar, Penyanyi Rayme Zainal Janjikan Pengalaman Raya Terbesar Di Puncak Tertinggi Putrajaya! – “Festival Paling Ikonik.”

Share

Penyanyi dan penganjur acara, Rayme Zainal mengumumkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bakal melakar sejarah sebagai festival raya terbesar pertama yang dianjurkan di puncak tertinggi Putrajaya, dengan acara tersebut dijadualkan berlangsung pada Februari 2026.

Menurut Rayme, pemilihan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai lokasi utama adalah kerana bangunan ikonik itu bukan sahaja berteknologi tinggi, malah direka khusus bagi penganjuran acara berskala besar serta menawarkan fasiliti bertaraf antarabangsa.

Dia yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. berkata, festival berkenaan dijangka memberi limpahan rantaian ekonomi dengan menyediakan lebih 300 peluang keusahawanan serta mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan, sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai destinasi perayaan utama negara.

“Menjadi ruang pertemuan budaya, komuniti dan pelancongan, Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bukan sekadar bazar tetapi turut mengangkat warisan negara menerusi busana kebaya dan batik Edisi Ramadan-Raya yang menjadi identiti seni tekstil negara.

“Dengan sokongan pelbagai rakan rasmi, sebagai penganjur acara, kami mahu menjadikan festival ini satu pengalaman bermakna dan berimpak untuk masyarakat dan  perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) setiap kali menjelang Ramadan,” katanya.

Rayme sebelum ini pernah menyertai program realiti TV popular, All Together Now dan dikenali menerusi lagu-lagunya seperti Andai dan Close To You.

Festival ini akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 Februari depan hingga ke ambang malam 1 Syawal.

Ia dianjurkan bersama PULSE Group serta PULSE Event Management (PEM), selain turut menerima sokongan Pulse Grande Hotel Putrajaya sebagai hotel rasmi.

Gabungan Kerohanian, Budaya & Gastronomi

Sebelum ini, Raydiates Blue mencatat kejayaan besar menerusi penganjuran Anjung Syawal Putrajaya 2025 yang menarik lebih satu juta pengunjung dengan penyertaan 330 lot niaga, serta merekodkan jualan melebihi RM10 juta sepanjang 33 hari penganjuran.

Rayme menambah, bertemakan ‘Lebih Tinggi, Lebih Meriah, Lebih Raya’, festival berkenaan bakal menjadi antara acara utama yang menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) dengan gabungan elemen kerohanian, seni budaya, gastronomi, hiburan dan keusahawanan dalam suasana puncak bukit yang unik.

Menurutnya juga, festival itu akan menampilkan lebih 300 usahawan meliputi sektor fesyen, tekstil, kraftangan, produk artisanal dan vendor gaya hidup, dengan tumpuan utama diberikan kepada zon gastronomi kendalian Grab & Go Cafe bersama kerjasama Anjung E.A.T.S.

E.A.T.S membawa maksud Experience, Appreciate, Taste & Share yang bakal menghimpunkan 20 usahawan menawarkan hidangan berbuka, moreh dan sahur dalam suasana

‘hilltop street food’.

“Turut menyerikan festival adalah program kerohanian seperti tazkirah dan solat terawih, persembahan seni budaya dan seni Islam, demonstrasi masakan, bengkel kraf, sesi ramah mesra selebriti, persembahan artis-artis terkenal serta konsert mini Syawal Showcase.

“Persembahan runway, paparan tekstil dan kolaborasi bersama artisan juga dijangka menjadi tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara selain menampilkan inisiatif Infaq Ramadan dan kempen kemanusiaan The Pelita of Hope untuk bantuan kemanusiaan Palestin.

“Turut dirancang sambutan tradisi bersama komuniti dan pengunjung, Malam 7 Likur di mana pelita akan menerangi kawasan bukit sebagai simbol harapan dan perpaduan,” katanya lagi.

Sekitar 1,200 tapak parkir percuma dengan resit pembelian turut disediakan selain surau yang luas dan selesa mampu memuatkan sehingga 300 jemaah pada satu-satu masa bagi.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai festival boleh diikuti menerusi media sosial rasmi mereka.

Sementara itu, PICC yang tersergam megah di atas bukit menawarkan pemandangan tasik yang indah berlatarbelakangkan Jambatan Seri Gemilang.

Idea rekaan bangunan di Presint 5, Putrajaya itu diilhamkan daripada bentuk ‘Pending Perak’, iaitu tali pinggang pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Bangunan PICC yang dibina bermula tahun 2001 dan siap sepenuhnya pada September 2003 meliputi kawasan seluas 135,000 meter persegi atau kira-kira 1.3 juta kaki persegi.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH