Categories: Berita Hiburan

“Bukan Mereka Sokong Produk Isr@el,” – Ada Fans Nak Boikot Sebab Hadir Majlis Resepsi, Ini Ulas Fattah Amin & Amira Othman

Share

Pelakon, Fattah Amin meluahkan rasa bingung dengan tindakan segelintir pihak yang dikatakan mahu memboikot rakan artis hanya kerana menghadiri majlis resepsi bersempena dengan perkahwinannya bersama Amira Othman, baru-baru ini.

Menurut Fattah, tindakan tersebut tidak wajar kerana kehadiran rakan-rakan artis hanyalah untuk memenuhi jemputan dan mengeratkan hubungan silaturrahim.

“Saya pun tak faham mengapa hal seperti itu boleh berlaku. Niat rakan artis itu nak menghadiri majlis perkahwinan dan mengeratkan silaturrahim.

“Bila ada sesetengah pihak yang nak boikot artis tersebut, kami pun tak faham mengapa ia berlaku.

“Saya dapat tahu hal ini pun artikel-artikel daripada pihak media. Apa yang boleh saya katakan, janganlah buat perkara sebegitu.

“Pada saya, dalam hidup ini, kita sentiasa inginkan hal yang baik-baik sahaja. Kita nak hidup dalam keadaan tenang,” katanya kepada MH.

Fattah dan Amira ditemui di majlis minum petang anjuran Usanita TV (UTV) di Ukay’s Hills, Ampang, pada Sabtu.

Menurut Fattah, tindakan mahu memboikot rakan artis semata-mata kerana menghadiri majlis kahwin disifatkan sebagai keterlaluan.

“Apa salahnya nak mengadiri majlis perkahwinan? Kenapa sampai nak boikot pula? Bukannya mereka sokong produk Isr@el.

“Kalau sokong produk Isr@el, bolehlah kita boikot. Takkanlah sebab datang majlis kahwin pun nak boikot?

“Saya doakan semoga orang yang nak memboikot itu diberikan hidayah untuk berubah. Pada saya, orang yang lebih terkesan dalam isu ini adalah mereka yang ingin diboikot,” ujarnya lagi

Doa Saja Yang Baik-Baik

Sementara itu, Amira Othman menganggap isu tersebut sebagai lumrah menjadi anak seni dan menasihatkan agar semua pihak menanam rasa positif dalam diri.

“Pada pandangan saya, ini adalah lumrah menjadi anak seni. Kita tak boleh kawal tindakan orang lain. Akan ada pihak yang suka dan tak suka kita. Jika kami terlalu ambil hati atau marah, ia akan membuatkan kami rasa tak seronok.

“Pada saya, ini adalah hal-hal kecil sahaja. Setiap orang ada pilihan sendiri. Jika ada pihak yang nak memboikot, kami pun tak nampak atas sebab apa mereka nak berbuat sedemikian,” katanya.

Amira turut menitipkan doa buat mereka yang tidak senang melihat kegembiraan orang lain agar diberi ketenangan hati.

“Saya doakan semoga mereka ini diberikan ketenangan dan tidak berasa sakit bila melihat orang lain gembira. Kalau kita turut tumpang gembira melihat kegembiraan orang lain, Allah akan berikan kita juga kegembiraan.

“Kalau kita tak gembira dengan orang lain, pada akhirnya nanti, hidup kita yang tidak tenang. Saya harap kalian berbaik-baik sahaja. Kalau nampak orang lain gembira, doakan sahaja yang baik-baik.

“Mudah-mudahan kita juga dapat rasa kegembiraan itu. Pada saya, ini adalah adat sebagai anak seni. Ada macam-macam ragam peminat. Rasa macam kelakar pun ada.

“Saya dan Fattah nak hidup tenang sahaja. Buat yang tak suka itu, semoga mereka suka satu hari nanti,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, beberapa rakan artis didahamkan ada menerima ugutan boikot selepas menghadiri majlis resepsi Fattah dan Amira di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), Johor.

Pasangan ini sebelum itu telah selamat diijabkabulkan di sebuah resort di Sepang pada 14 September lalu, manakala majlis di Johor diadakan khusus untuk keluarga sebelah Amira.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf