
Penyanyi Misha Omar menzahirkan rasa syukur dan teruja menjelang konsert solo istimewanya, ‘Dia Misha Omar’ yang bakal berlangsung pada 29 November ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Menurut Misha, konsert itu bukan sekadar persembahan, tetapi sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang 23 tahun perjalanan seninya.
“Saya mengharapkan pada hari konsert nanti, bila penonton masuk sahaja ke dalam dewan, anda akan tumpukan perhatian di atas pentas, rasa aura muzik itu dan sedar-sedar sahaja ia sudah habis.
“Pada saya, sedikit atau banyak orang yang meraikan saya di hari konsert nanti, itu sebenarnya menunjukkan kasih sayang mereka terhadap saya. Itu yang amat saya hargai.
“Saya sangat bersyukur kerana mampu bertahan sehingga hari ini. Allah masih beri saya kebolehan untuk menyanyikan lagu yang sama dengan tahap vokal yang sama.
“Malah, saya masih mampu menarik perhatian dan memberi rasa kepada penonton sewaktu saya membuat persembahan,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu akui timbul rasa sebak apabila mengenangkan insan-insan istimewa yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya seperti komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan rakan seperjuangan Allahyarhamah Siti Sarah.
“Sudah tentu saya mengharapkan Abang Dee boleh menonton konsert saya. Bintang yang beliau garap dari saya masih hijau, dibesarkan dan diberikan lagu sehingga menjadi diri saya yang hari ini.
“Begitu juga dengan Siti Sarah. Nama yang sering duduk bersebelahan dengan saya di pelbagai acara sejak awal pembabitan kami dalam dunia seni.
“Bilik bersiap dan parkir kereta kami sentiasa bersebelahan. Saya sentiasa mengharapkan arwah ada bersama saya. Walaupun arwah sudah tiada, semangatnya masih ada dalam hati saya.
“Baru-baru ini, saya dapat melihat dan menjurikan anaknya ketika membuat persembahan di TTMM. Semua itu memberikan kemanisan dan semangat untuk saya terus berkarya,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai senarai lagu yang bakal dipersembahkan, Misha menjelaskan proses pemilihannya telah bermula sejak September lalu dan perlu dilakukan dengan teliti agar persembahan lebih bermakna dan seimbang.
“Dalam soal pemilihan lagu, kami sudah merancang sejak daripada bulan September lagi. Untuk menggarabkan sesuatu konsert, kita tak boleh mengharapkan untuk mempersembahkan lagu-lagu hits sahaja. Ia perlu seimbang.
“Dalam proses ini, penyanyi, pengarah muzik dan pengurus pun ada keinginan dan pilihan lagu sendiri. Kita sebenarnya sedang melihat persembahan untuk jangka masa yang panjang.
“Kalau saya letakkan semua lagu-lagu hits di konsert ini, ia mungkin akan menjadi konsert terakhir saya.
“Kata Datuk Syafinaz, kalau awak bagi semua, awak tak nak buat konsert lagi ke selepas ini? Ketika ini, umur kerjaya saya sudah 23 tahun, mungkin pada usia 25 tahun nanti, saya nak buat konsert lagi.
“Jadi, kita akan bawakan lagu-lagu yang peminat tak sangka dan kita berikan nafas baharu,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini