
Dunia perfileman Asia kehilangan seorang tokoh besar apabila pelakon veteran seni bela diri, Bruce Leung Siu-lung, yang dikenali menerusi watak ikonik dalam filem Kung Fu Hustle, meninggal dunia pada usia 77 tahun.
Bruce Leung atau nama asalnya Leung Choi-sang dilaporkan menghembus nafas terakhir pada 14 Januari 2026 di Shenzhen, China. Perkara itu disahkan oleh ahli keluarga terdekatnya dan kemudiannya tular dalam laporan media tempatan serta antarabangsa.
Menurut kenyataan keluarga, upacara pengebumian mendiang dijadualkan berlangsung pada 26 Januari 2026 dan akan diadakan secara tertutup dengan kehadiran ahli keluarga serta rakan terdekat sahaja.
Bruce Leung merupakan antara figura penting dalam landskap filem seni mempertahankan diri Hong Kong sejak era 1970-an dan 1980-an. Beliau dikenali dengan kemahiran seni bela diri yang tulen, termasuk penguasaan karate dan kung fu, selain gaya lakonan yang tegas serta berdisiplin.
Namanya kembali meraih perhatian global selepas membawakan watak antagonis ‘The Beast’ dalam Kung Fu Hustle
(2004), arahan pelakon dan pengarah terkenal, Stephen Chow. Watak tersebut sehingga kini dianggap antara penjahat paling ikonik dalam sejarah perfileman Asia.Sepanjang kerjayanya, Bruce Leung membintangi puluhan filem dan drama televisyen, sekali gus meninggalkan legasi besar sebagai simbol keaslian seni bela diri dan dedikasi terhadap dunia perfileman.
Selain Kung Fu Hustle, antara filem lain lakonannya seperti Ipman, Adventure of The King dan Just Another Pandora’s Box.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan