
Bintang K-pop dan aktres popular, Nana, kini dirawat di hospital selepas berjaya menumpaskan seorang penceroboh bersenjata yang menceroboh kediamannya di pinggir Seoul, awal pagi Sabtu.
Menurut laporan, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan dipercayai memasuki kediaman tersebut sekitar pukul 6 pagi dengan niat samun sebelum berlaku pergelutan. Insiden cemas itu turut melibatkan ibunya yang berada bersama beliau ketika kejadian.
Dalam usaha mempertahankan diri, Nana bersama ibunya bertindak menghalang suspek sehingga usaha penceroboh itu berjaya digagalkan sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi.
Polis Guri kemudiannya menahan suspek dan mengesahkan lelaki itu disiasat atas kesalahan rompakan bersenjata. Ekoran pergelutan yang terjadi, Nana mengalami kecederaan manakala ibunya yang pengsan. Kedua-dua mereka menerima rawatan susulan di hospital
Setakat ini, agensi yang mewakili bekas anggota kumpulan After School itu belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan. Namun sumber memaklumkan keadaan Nana dan ibunya stabil serta memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat dan pemerhati industri hiburan Korea yang menyifatkan kejadian itu sebagai amaran mengenai isu keselamatan selebriti.
Sedikit info, Nana, atau nama sebenarnya Im Jin-ah, merupakan antara selebriti Korea Selatan yang memiliki kerjaya serba boleh. Beliau mula dikenali sebagai anggota kumpulan After School serta sub-unit Orange Caramel yang popular dengan lagu-lagu bergenre pop eksentrik.
Selain bakat dalam nyanyian, Nana turut membina reputasi kukuh sebagai pelakon. Antara drama yang melonjakkan namanya termasuk The Good Wife (2016), Kill It (2019), Justice (2019), Into the Ring (2020) dan Mask Girl (2023).
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan