Uncategorized

“Bila Mereka Pakai, Nampak ‘On Point’,” – Imej Scha & Hael Selari Dengan Konsep ‘Simple Tapi Nampak Mewah’, Dipilih Jadi Wajah Kempen Jenama Fesyen

Share

Jenama fesyen tempatan, Amber memilih Scha Alyahya dan Hael Husaini sebagai wajah kempen raya terbaharu, Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection.

Pemilihan ini dibuat kerana imej eksklusif, minimalis dan elegan yang dibawa oleh kedua-dua selebriti tersebut, selari dengan konsep koleksi berkenaan.

Pemilihan Scha dan Hael bukan hanya bersandarkan populariti semata-mata.

Sebaliknya, ia turut mengambil kira cara mereka membawa diri, personaliti serta ketelitian dalam memilih jenama yang seiring dengan definisi “Luxe” yang ingin diketengahkan melalui kempen ini.

Kempen Amber LUXE memperkenalkan koleksi raya eksklusif yang menampilkan rekaan ringkas tetapi mewah.

Fokus diberikan kepada kualiti fabrik, potongan kemas serta sentuhan moden yang sesuai digayakan oleh pelbagai peringkat usia.

Bagi koleksi wanita, lima rekaan utama diperkenalkan iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela dan Leyla.

Sementara itu, koleksi lelaki pula menampilkan tiga set Baju Melayu moden iaitu Orhan, Azra dan Demir yang direka dengan potongan minimalis serta kemasan premium.

Ringkas Tetapi Mewah

Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan berkata konsep Amber LUXE menekankan kemewahan dalam bentuk yang ringkas dan tidak keterlaluan.

Justeru, Scha dan Hael dilihat sebagai pilihan paling tepat untuk mewakili koleksi tersebut.

“Kalau kita tengok Amber LUXE, dia sangat simple tetapi nampak luxury. Sebab itu saya rasa konsep ini sangat bertepatan dengan Scha dan Hael. Bila mereka pakai, semuanya nampak ‘on point’.

“Luxe itu bukan bermaksud status, tetapi dari segi tekstur kain, pemilihan rekaan dan keseluruhan rasa pakaian itu. Cara kita bawa diri dan baju itu sendiri perlu berjalan seiring,” katanya.

Menurutnya lagi, koleksi Amber LUXE dihasilkan untuk semua golongan dan tidak hanya tertumpu kepada segmen premium, walaupun menampilkan sentuhan eksklusif.

“Amber LUXE untuk semua. Kita nak nampak ada eksklusif, tetapi masih mampu milik. Luxe itu bukan mahal semata-mata, tetapi pada kualiti, rekaan dan pengalaman bila memakainya,” ujarnya.

Tambah Adzliana juga, penerimaan pelanggan terhadap Amber terus menunjukkan perkembangan positif termasuk selepas pembukaan butik di IOI City Mall, Putrajaya yang mendapat sambutan luar jangka.

“Sambutan sangat baik. Walaupun Amber bukan jenama paling besar, tetapi pelanggan datang dan melihat sendiri koleksi dari awal sampai sekarang. Penerimaan masyarakat sangat positif,” katanya.

Scha & Hael Kongsi Pengalaman

Sementara itu, Scha Alyahya menyifatkan peluang menjadi wajah bagi jenama ini sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan dan perniagaan.

“Bagi saya, ‘Luxe’ itu bukan sahaja pada pakaian tetapi bagaimana kita membawa diri. Saya seorang yang santai, tetapi sangat teliti dalam memilih kerja dan jenama.

“Sebab itu bila diberi peluang ini, saya rasa ia satu penghargaan terhadap apa yang saya bina selama ini,” katanya.

Menurut Scha, konsep Amber LUXE juga menarik kerana memberi peluang kepada semua orang merasai pakaian eksklusif dengan harga berpatutan.

“Target Datuk Adzliana adalah semua orang boleh rasa bagaimana memakai pakaian Luxe, tetapi dengan harga yang berpatutan dan kualiti yang sangat baik.

“Rekaan pula nampak berbeza, terutama untuk lelaki yang simple dan minimalist,” katanyq lagi.

Hael Husaini pula terharu apabila koleksi terbaharu ini menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat, termasuk ketika diperkenalkan di acara CelebFest di Singapura baru-baru ini.

“Alhamdulillah, untuk koleksi kali ini sambutan sangat baik. Ada rekaan yang cepat sold out, terutama masa acara di Singapura. Saya rasa peminat Amber memang tunggu koleksi seperti ini,” katanya.

Kesemua koleksi Amber Raya 2026 boleh didapati menerusi laman web rasmi dan secara fizikal pula boleh dilakukan di butik Amber baharu di IOI City Mall, Putrajaya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Amber atau mengikutinya di Instagram.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH