Berita

“Bila Mereka Besar Nanti…,” – RXZ Purple & Ekzos ‘Paip Senapang’ Kini Jadi Trend, Pengarah Sangkal Dakwaan Malaikat Malam Beri Pengaruh Buruk

Share

Pengarah, Nazifdin Nasrudin tampil mempertahankan karya sulungnya, Malaikat Malam, susulan kebimbangan segelintir pihak yang melihat filem itu berpotensi memberi pengaruh negatif kepada golongan muda.

Menurut Nazifdin, setiap penceritaan yang kuat dan berkesan tidak dapat lari daripada memaparkan sisi gelap kehidupan sebagai cerminan realiti.

Mengulas lanjut, beliau mengakui watak Azam yang ditampilkan dalam filem ini memiliki aura tersendiri sehingga mampu menarik minat penonton, khususnya anak muda untuk meniru gaya hidupnya.

“Apa yang dipaparkan di dalam filem ini, kalau kita nak tunjuk perkara-perkara yang baik, kita kena tunjuk hal-hal yang buruk juga. Nak tunjuk cahaya, kena ada kegelapan.

“Saya memang tak boleh nak menafikan jika ada peminat yang mahu menjadi seperti Azam di dunia luar. Mereka nak gaya rambut dan motosikal seperti Azam.

“Saya memang mengharapkan jika peminat mahu jadi seperti Azam secara kosmetik. Nak jadi handsome seperti Azam, memang saya menggalakkan,” katanya kepada MH.

Nazifdin atau lebih mesra disapa Bujoq berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan gala filem Malaikat Malam yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu.

Bagaimanapun, Nazifdin berharap agar para penonton dapat membezakan perkara baik dan buruk untuk dijadikan teladan.

“Jika bercakap soal gaya permotoran Azam pula, saya yakin harga RXZ memang agak mahal sekarang. Yang main motosikal ini pun ramai orang tua.

“Kalau budak-budak sekolah, mereka lebih kepada motosikal jenis skuter dan kapcai. Kalau nak pasang ekzos paip senapang, mungkin mereka tak mampu.

“Bila mereka sudah besar nanti, saya pun mengharap mereka menjadi Azam seperti mana di pengakhiran filem.

“Kalau ada yang terpengaruh dengan perkara buruk, saya minta maaf. Kalau mereka ambil yang baik, saya berterima kasih,” kongsinya lagi.

Isu Babak Aksi & Penerimaan Kritikan

Ditanya mengenai komen netizen yang merasakan mereka tidak puas dengan babak aksi permotoran yang ditampilkan di dalam filem ini, Nazifdin menjelaskan setiap filem mempunyai jalan cerita yang tersendiri.

“Saya kurang bersetuju dengan kenyataan itu. Pada saya, babak aksi permotoran itu ada lebih daripada lima peratus. Dalam filem ini, kita ada tiga babak perlumbaan.

“Dari segi pembikinan, kita agak terbatas terutamanya untuk adegan perlumbaan. Saya minta maaf jika ada yang terkurang sewaktu anda menonton.

“Hala tuju filem ini memang tertumpu kepada aspek percintaan. Perlumbaan itu tetap ada tapi kita mahu memberikan gaya penceritaan yang baru.

“Kalau kita fokus pada babak aksi tetapi kurang asas kisah cinta Azam dan Ratna itu, rasanya tak best juga. Setiap orang ada selera masing-masing,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nazifdin memaklumkan dirinya menerima setiap teguran dengan hati yang terbuka.

“Saya ada baca juga sikit-sikit apa yang ditulis di media sosial. Saya tidak terasa pun. Saya sudah beberapa tahun terlibat dalam bidang filem ini.

“Saya pernah kena lebih teruk lagi. Saya terima segala teguran baik dan buruk. Saya akan cuba perbaiki lagi pada masa akan datang,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf