
Pelakon, Nadia Brian tidak menafikan dirinya kini merasakan kini alami banyak perubahan positif dalam hidup selepas menjalinkan hubungan rapat bersama usahawan dan pempengaruh, Nedim Nazri.
Menurut Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, kehadiran Nedim atau lebih sinonim dengan sapaan Boss Ned di dalam hidupnya nyata menambah seri dan membuatkan dia lebih bersemangat untuk menjalani kehidupan seharian.
“Nedim seorang lelaki yang baik. Saya juga selesa berkawan dengan dia dan keluarga. Namun, hubungan kami ini masih lagi baharu.
“Memang benarlah apa orang kata, kalau kita jumpa dengan orang yang betul, kita rasa lebih gembira dan bersemangat dalam hidup.
“Nak bekerja pun rasa seronok. Saya bersyukur dengan perasaan ini,” katanya kepada MH.
Nadia berkata demikian ketika ditemui di majlis resepsi kedua primadona, Erra Fazira dan Ezwan Zain, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon filem Duyung: Lagenda Aurora ini turut memanjatkan rasa syukur kerana hubungannya bersama Nedim mendapat sokongan ramai pihak termasuk di kalangan peminat.
“Alhamdulillah, ramai pihak doakan yang baik-baik. Saya dan Nedim masih lagi di dalam fasa berkawan dan mengenali hati budi masing-masing.
“Saya harap semua pihak dapat terus mendoakan yang baik-baik buat kami. Mana tahu, mungkin ada jodoh di antara kami. Insya-Allah,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada mereka sudah mempunyai perancangan untuk ke fasa lebih serius, Nadia menyerahkan segalanya kepada perancangan Allah SWT.
“Doakan sahajalah. Saya pun tak nak bercakap lebih. Kami akan cuba buat yang terbaik,” kongsinya lagi.
Nadia turut memaklumkan dia dan Nedim bakal bertemu serta berkenalan dengan lebih rapat sesama ahli keluarga dalam masa terdekat.
“Bagi pihak keluarga pula, perkenalan kami masih lagi baharu. Kami belum adakan pertemuan yang rapat.
“Insya-Allah segalanya masih lagi di dalam perancangan. Doakanlah yang baik-baik buat kami,” akhirinya.
Baru-baru ini, Nadia dan Nedim dilihat semakin terbuka berkongsi momen-momen romantis mereka di media sosial.
Malah, Nedim turut menyifatkan kehadiran Nadia membuatkan harinya jadi lebih bermakna.
Sekadar informasi, Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun berpisah pada April 2021.
Sementara Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Nora Danish pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Neyqal, sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini