
Pelakon Emma Maembong tidak mahu mengulas secara terperinci berhubung isu melibatkan kakaknya, Beby Maembong, yang dilaporkan berdepan tuntutan berjumlah RM80 juta daripada usahawan kosmetik, Safiey Illias.
Tuntutan tersebut difahamkan telah dibuat atas dakwaan perbuatan yang menjatuhkan reputasi serta nama baik Safiey, syarikatnya dan ahli keluarga.
Menurut Emma, walaupun isu berkenaan melibatkan ahli keluarga terdekat, dia lebih selesa untuk tidak masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada kakaknya untuk diselesaikan.
“Saya memang sejenis yang tak suka masuk campur walupun urusan adik beradik. Pada saya, masing-masing ada hal sendiri.
“Jika kakak saya ada masalah, biarlah dia yang selesaikan,” katanya ringkas.
Emma berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media kempen Ramadan dan Raya TV3, Jwanjih Drama!, baru-baru ini.
Emma bakal muncul menerusi drama terbaharu, Kerana Cinta Itu Dusta yang akan ditayangkan di slot Samarinda, TV3 bermula 25 Februari ini.
Sementara itu, ibu kepada dua cahaya mata ini akui bimbang dengan trend semasa, khususnya apabila kisah-kisah aib mudah dijaja di media sosial.
“Ada kalanya mereka buat semua ini untuk keperluan diri sendiri. Mereka cipta sesuatu perkara itu untuk hidup. Kalau tanya saya secara peribadi, perkara ini memang tak sihat dan tak bagus.
“Sebab itu saya tidak kongsikan hal peribadi. Dahulu, masa zaman muda pun, saya pernah kongsikan masalah secara terbuka.
“Sehingga ia disalah anggap dan terkena semula pada diri kita sendiri. Kini, saya lebih suka kekal tenang dan tak perlu ceritakan masalah. Biarlah kita sahaja yang tahu,” katanya lagi.
Pada masa sama, Emma menyifatkan perbuatan menyebarkan aib seolah-olah dinormalisasikan segelintir pihak, sehingga ada yang beranggapan ia bukan lagi satu kesalahan.
“Walaupun kita cuba nak mengelakkan daripada perkara ini menjadi trend, tapi isu-isu sebar aib ini ternyata mendapat sokongan banyak pihak.
“Sebagai contoh, ada individu yang tidak dikenali dan dia kongsikan hal personal dan peribadi. Tiba-tiba dia mendapat perhatian.
“Bila dia rasa benda itu tidak salah, hal ini akan berterusan sehingga dia turut membuka aib orang-orang di sekeliling. Nak salahkan dia seorang sahaja pun tak boleh.
“Daripada tutup rapi kisah aib, dia tidak akan dapat apa-apa. Bila sebarkan aib pula, banyak keuntungan yang boleh dapat. Hal ini seperti sudah menjadi satu budaya. Dah jadi normal pula,” kongsinya.
Bagaimanapun, Emma menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai satu pengajaran yang wajar dilihat daripada sudut positif.
“Kini saya lebih suka berdiam diri. Dalam drama yang saya lakonankan ini misalnya, ia papar realiti menjadi seorang isteri kepada seorang influencer.
“Ada kalanya dia penat. Masa nak makan pun perlu buat konten. Kata suami, inilah periuk nasi kita. Kehendak klien itu lebih utama. Ini adalah kelainan drama saya kali ini.
“Buat para influencer atau content creator, ambil pengajaran dari sudut positif. Dalam drama ini pun tiada sindiran atau tuju kepada mana-mana pihak. Ia lebih kepada menceritakan kehidupan masa kini,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini