
Penyanyi remaja, Alyssa Dezek berjaya membuktikan kejayaan dalam akademik dan kerjaya seni mampu dicapai secara seiring apabila dia sukses meraih keputusan cemerlang ‘Straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.
Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan peminat, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa komitmen terhadap pendidikan tidak harus diketepikan walaupun bergelar figura awam.
Alyssa, 18, yang juga Ikon PTTI, berkongsi antara faktor utama kejayaannya ialah konsistensi dalam mengikuti pembelajaran secara tersusun melalui platform digital.
Sepanjang tempoh persediaan menghadapi SPM, beliau mengikuti kelas dalam talian PTTI bagi kesemua sembilan mata pelajaran.
Pendekatan ini disifatkan sangat membantu dalam memahami subjek dengan lebih mendalam serta mengurus masa dengan lebih efektif di tengah jadual seni yang padat.
“Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini. Sejujurnya, perjalanan ini bukan mudah kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.
“Tapi saya percaya, kalau kita ada disiplin dan sistem pembelajaran yang betul, insya-Allah kita boleh capai apa yang kita impikan,” katanya.
Alyssa turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya, guru-guru serta pihak PTTI yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.
“PTTI banyak membantu saya kekal fokus, terutamanya dengan kelas yang fleksibel dan teknik pembelajaran yang mudah faham.
“Saya memang ikut semua kelas untuk sembilan subjek, dan itu antara kunci utama saya dapat ‘straight’ A,” tambahnya lagi.
Kejayaan ini secara tidak langsung mengukuhkan peranan pembelajaran digital sebagai alternatif berkesan dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik, khususnya dalam era yang menuntut fleksibiliti serta akses pembelajaran tanpa sempadan.
Sebagai figura muda yang berjaya dalam kedua-dua bidang hiburan dan akademik, Alyssa Dezek kini dilihat sebagai contoh terbaik kepada remaja Malaysia untuk terus mengejar ilmu tanpa mengabaikan potensi diri dalam bidang lain.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini