
Makar Fest Johor Bahru 2025 melabuhkan tirainya baru-baru ini dengan kejayaan cemerlang selepas berlangsung selama empat hari penuh warna-warni.
Festival ini berjaya menarik perhatian masyarakat setempat dan luar daerah dengan konsep berbeza yang julung kali diadakan.
Sepanjang empat hari penganjuran, acara ini menerima maklum balas positif daripada ribuan pengunjung, sekali gus membuktikan penerimaan tinggi terhadap konsep unik yang ditampilkan.
Berdasarkan data kapasiti parkir, dianggarkan lebih 15,000 pengunjung hadir sepanjang festival, menjadikan Makar Fest salah satu acara gaya hidup dan seni paling meriah di Johor pada tahun ini.
Salah satu tarikan utama ialah persembahan teater di dalam penjara sebenar arahan pengarah terkenal Sabri Yunus.
Persembahan eksklusif ini berlangsung selama dua hari dengan kapasiti 100 penonton setiap sesi, dan kedua-dua hari mencatatkan sold out dengan seramai 200 penonton mendapat pengalaman teater yang begitu ‘rare’ dan bersejarah.
Selain itu, festival turut menampilkan persembahan muzik, seni jalanan, pameran seni, budaya serta aktiviti interaktif yang menyatukan artis tempatan dengan bakat baharu, sekali gus memberi pengalaman segar kepada pengunjung.
Makar Fest turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dengan penyertaan vendor makanan, produk kreatif, dan usahawan muda Johor yang menerima sokongan padu daripada para pengunjung.
Turut memeriahkan acara, Makar Fest menerima kunjungan mesra daripada Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, yang menyatakan sokongan beliau terhadap usaha penganjur membawa konsep festival segar ke negeri ini.
Penganjur, Issey Fazlisham berkata, acara ini membuktikan seni, muzik dan budaya mampu digabungkan dalam konsep berbeza untuk memberi pengalaman yang segar kepada masyarakat.
“Kami amat bersyukur dengan sambutan luar biasa ini, dan terima kasih kepada semua yang terlibat, daripada artis, vendor, pihak berkuasa, hinggalah kepada para pengunjung yang menjadikan festival ini hidup,” katanya.
Melihat kepada sambutan hebat ini, pihak penganjur merancang untuk membawa lebih banyak persembahan band indie dan bakat muda pada edisi akan datang.
Ia bagi menarik minat generasi belia dan terus memposisikan Makar Fest sebagai platform seni, budaya, dan gaya hidup paling segar untuk komuniti anak muda di Malaysia.
Malah, pihaknya juga optimis festival ini akan terus berkembang sebagai platform untuk seni kreatif, komuniti, dan gaya hidup anak muda.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini