
Biduanita Negara, Siti Nurhaliza lebih senang untuk tidak memanjangkan isu tular melibatkan dirinya ketika menunaikan solat dengan mengenakan jubah tanpa telekung, baru-baru ini.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, juga enggan membalas mana-mana komen yang berkaitan memandangkan perkara tersebut sudah diperjelaskan oleh agamawan yang mengesahkan ibadahnya adalah sah.
“Berkaitan dengan ibadat ini saya tak perlu nak membalas semula sebab ustaz pun dah jelaskan. Sebagai umat Islam kita patut tahu apa yang sepatutnya, tapi dalam masa sama saya masih lagi memperbaiki diri dan amalan saya.
“Apa yang saya harapkan semoga Allah semakin memberikan saya kekuatan dan kesabaran sebab bukan mudah menjadi anak seni dalam dunia yang makin mencabar ini. Setiap apa yang kita lakukan pasti akan jadi tumpuan.
“Bulan Ramadan yang mulia ini, kita husnuzon’ saja. Kadang-kadang bila ada yang menegur itu, saya setuju juga supaya kita melihat kekurangan diri.
“Apapun saya tidak akan mengulas atau membidas sebab ustaz pun dah jelaskan. Rasanya jawapan ustaz itu sudah cukup untuk mereka memahaminya,“ katanya.
Penyanyi lagu Beraya Dengan Saya itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai perdebatan hangat di media sosial, Siti menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
“Itu memang normal lagi-lagi zaman media sosial, dah jadi satu trend. Semua orang suka untuk berkongsi pandangan, cuma jangan sampai jatuh fitnah sajalah.
“Bagi saya dunia media sosial ini pasti ada suka dan duka serta asam garam yang perlu ditempuh.
“Kalau kita menulis sampai jatuh fitnah dan mendatangkan dosa kepada diri sendiri, kita kena cepat-cepat sedar serta tahu apa yang perlu dilakukan,“ katanya lagi.
Dilihat sentiasa kekal tenang dan tidak mudah melenting berdepan ujian, Siti mengakui pengalaman lalu banyak membentuk dirinya menjadi lebih matang dalam menangani situasi seperti ini.
“Mungkin saya dah ada pengalaman menghadapi situasi seperti ini daripada dulu lagi. Cuma hal berkaitan ibadah ini saya rasa lebih baik tak payah beri apa-apa respons.
“Sebab itulah saya biarkan saja dan serahkan kepada orang yang lebih bijaksana mungkin boleh jelaskan.
“Saya bimbang kalau saya yang jelaskan mungkin boleh jadi satu kesalahan pula disebabkan cara penjelasan yang berbeza. Jadi lebih baik saya diam saja,“ katanya.
Sebelum ini, tindakan Siti menunaikan solat dengan mengenakan jubah tanpa telekung mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan warganet mengenai kesahihan ibadah tersebut.
Bagaimanapun, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim tampil mengesahkan bahawa solat penyanyi nombor satu negara itu adalah sah.
Menurut beliau, syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna, manakala pemakaian telekung bukanlah satu kewajipan dari sudut hukum.
Terdahulu, tular foto yang memaparkan Siti menunaikan solat dengan hanya berjubah di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.