
Selepas mengambil kira beberapa faktor penting, penyanyi Nourul Depp mengumumkan penukaran tarikh konsert sulungnya, For You Nourul.
Konsert yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 kini akan diadakan pada 30 Mei depan.
Menurut wakil penganjur ND Entertainment, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan teliti antara pihak penganjur dan Nourul sendiri.
Langkah itu diambil sebagai tanda menghormati serta memberi laluan kepada dua perayaan terbesar negara, di samping memastikan mutu persembahan berada pada tahap terbaik demi kepuasan peminat.
“Pihak penganjur dan Nourul telah berbincang dan bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh For You Nourul kepada 30 Mei 2026.
“Pertimbangan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk menghormati dan memberi laluan kepada dua perayaan penting umat Islam iaitu Aidilfitri serta Aidiladha.
“Selain itu, kami percaya pemilihan tarikh 30 Mei 2026 sangat sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan.
“Kami mahu For You Nourul menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat dalam suasana yang lebih selesa dan meriah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab optimis perubahan tarikh tersebut memberi kelebihan dari aspek perancangan produksi dan penyusunan barisan artis jemputan.
“Antara sebab tarikh For You Nourul ditukar kepada 30 Mei 2026 adalah kerana melalui proses perbincangan bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula
jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri,” katanya.
Walaupun tarikh baharu telah ditetapkan, penjualan tiket masih diteruskan mengikut kategori harga iaitu RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 bagi VIP Box.
Konsert For You Nourul dijadualkan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini