
Penyanyi dan pelakon Taiwan, Amy Yeh akhirnya tampil mendedahkan sisi gelap kehidupannya ketika mula-mula bertapak dalam industri seni hiburan sekitar tahun 2005.
Bintang berusia 42 tahun itu mengaku pernah dihimpit masalah kewangan sehingga terjerat dengan hutang kad kredit mencecah NT$2 juta (kira-kira RM300,000). Demi melangsaikan hutang tersebut, beliau terpaksa menerima tawaran menjadi model termasuk sesi fotografi berkonsepkan bogel.
Menurut bekas ahli kumpulan F4 yang kini sudah dibubarkan, ketika itu beliau menandatangani perjanjian NDA (Non-Disclosure Agreement) bersama jurugambar terbabit. Bagaimanapun, selepas popularitinya mula meningkat, gambar-gambar tersebut dipercayai telah bocor dan tersebar di internet tanpa kebenarannya.
“Saya sedar ia kesilapan besar dalam hidup saya. Walaupun ada NDA, akhirnya gambar itu tetap tular. Ia sesuatu yang tidak boleh saya tarik balik,” kata Amy dalam satu wawancara yang dipetik oleh media hiburan Taiwan.
Sejak insiden itu, Amy mengakui dirinya mengalami tekanan emosi kerana bimbang reputasi dan kerjayanya akan terjejas. Namun, beliau tetap meneruskan karier seni dan kini tampil lebih matang serta berhati-hati dalam setiap keputusan.
Penyanyi tersebut turut menasihatkan golongan muda agar tidak mengambil jalan singkat semata-mata untuk menyelesaikan masalah kewangan.
“Jangan sesekali fikir gambar atau video intim boleh dijaga selama-lamanya. Sekali ia tersebar di internet, ia akan kekal selamanya,” tegasnya.
Pendedahan Amy itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat di Taiwan yang rata-rata memuji keberaniannya mengakui kesilapan silam dan menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan